AM

Pulau Pinang Sedang Pertimbang Ubah Terowong Dasar Laut Kepada Jambatan

21/05/2025 09:07 PM

GEORGE TOWN, 21 Mei (Bernama) -- Kerajaan negeri sedang mempertimbangkan cadangan perubahan reka bentuk yang baharu bagi projek Laluan Ketiga Pulau Pinang daripada Terowong Dasar Laut kepada jambatan merentasi Selat Pulau Pinang.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri Zairil Khir Johari berkata kajian kebolehlaksanaan telah dimuktamadkan pada 2023 merangkumi kebolehlaksanaan bagi reka bentuk yang baharu iaitu jambatan ataupun reka bentuk alternatif.

“Kajian pelaksanaan bagi reka bentuk alternatif ini pula akan diselesaikan dalam masa terdekat dan reka bentuk baharu dijangka akan dimuktamadkan selepas kajian itu selesai.

“Penilaian Impak Lalu Lintas (TIA) dan semua penilaian yang sewajarnya akan dilaksanakan setelah reka bentuk konsep dimuktamadkan kelak,” katanya ketika menggulung ucapan perasmian Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib, pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Sebelum ini, Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata projek Laluan Ketiga Pulau Pinang berkemungkinan akan menyaksikan perubahan dalam jajaran dan reka bentuknya.

Pada 26 Feb lepas, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata kajian kebolehlaksanaan projek terowong itu masih di peringkat penelitian dan kerajaan negeri sedang meneliti beberapa perkara antaranya pembesaran pelabuhan North Butterworth Container Terminal (NBCT) yang melibatkan jajaran projek berkenaan.

Projek terowong dasar laut sepanjang 6.5 kilometer menghubungkan Gurney Drive ke Bagan Ajam di tanah besar itu adalah sebahagian daripada Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).

Persidangan DUN bersambung esok.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2425429