EKONOMI

Tarif AS: PM Anwar Gesa Pembaharuan Ekonomi Domestik, Pertingkat Hubungan Antara ASEAN Dan Rakan Utama

22/05/2025 01:17 AM

PUTRAJAYA, 21 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan keutamaan untuk pembaharuan ekonomi domestik terlebih dahulu sebelum memperluas kerjasama melalui ASEAN dan rakan utama seperti China, India, Pakistan serta memperkukuh hubungan dengan Kesatuan Eropah (EU) dalam menangani kesan perubahan dasar tarif Amerika Syarikat (AS).

Beliau berkata EU sememangnya agak dramatik dalam keputusannya untuk berinteraksi dengan lebih agresif dan aktif bersama ASEAN.

Anwar juga berkata Malaysia telah mengadakan libat urus awal dengan Amerika Syarikat (AS) yang diwakili Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang telah mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Negara AS Marco Rubio berhubung isu tarif.

Perdana Menteri berkata perbincangan awal itu bersifat positif dan menyediakan platform untuk menjelaskan kedudukan perdagangan Malaysia.

"...kemudian terdapat pertemuan susulan. Seperti yang anda tahu di Korea Selatan dan secara menakjubkan, kita telah menyaksikan kenyataan ini oleh ASEAN, China, Jepun dan Korea Selatan, yang mana pada fikiran saya ia sangat positif kerana ia menunjukkan bahawa kita bersedia untuk melihat perkara ini dan mempromosikan keterbukaan terhadap multilateralisme.

“Tetapi pada peringkat ini, ia masih terlalu awal. Setiausaha Rubio telah mengadakan sesi panjang bersama Menteri Luar (Datuk Seri Mohamad Hasan), saya juga berbincang dengan beliau, tetapi selain daripada itu, Amerika Syarikat telah berjanji untuk melihat perkara ini secara simpatetik dan memberi sokongan kepada kita,” katanya di sini hari ini.

Anwar berkata demikian pada sesi taklimat berkaitan Sidang Kemuncak ASEAN 2025 bersama ketua pengarang media tempatan dan antarabangsa di Kompleks Seri Perdana di sini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin; Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj; dan Editor Eksekutif Perkhidmatan Berita Ekonomi Bernama Saraswathi Muniappan.

Acara itu dihadiri seramai 83 wakil media, terdiri daripada 42 media tempatan, 18 media antarabangsa dan 23 yang membuat liputan atas tugasan khas.

Anwar berkata masih terlalu awal untuk menilai sepenuhnya kesan perubahan tarif Amerika Syarikat dan Malaysia akan terus memantau keadaan dan bertindak balas dengan sewajarnya.

Perdana Menteri berkata Malaysia kekal komited sebagai sebuah negara perdagangan dan selain rakan kongsi tradisional seperti China dan Amerika Syarikat, negara ini juga sedang meneroka pasaran baharu, menjalinkan hubungan dagang dengan Rusia serta menyertai Sidang Kemuncak BRICS yang akan diadakan di Rio de Janeiro, Brazil pada 6 hingga 7 Julai.

Anwar berkata industri semikonduktor Malaysia masih tidak terjejas oleh tarif AS buat masa ini dan menyifatkan ia sebagai sektor “yang paling positif" di tengah-tengah ketidaktentuan perdagangan yang semakin meningkat.

"Jadi, Amerika Syarikat (apabila) mengenai semikonduktor, ia adalah yang paling positif. Buat masa ini, ia dikecualikan daripada tarif, betul? Tetapi berkenaan dengan Presiden, kita tidak tahu apa yang akan berlaku esok atau malam ini. Tetapi buat masa ini, ia agak selamat," kata beliau.

Anwar berkata Malaysia, bagaimanapun, sedang memantau dengan teliti perkembangan itu, terutamanya kerana 60 peratus produk Malaysia dieksport ke Amerika Syarikat.

“Kita memandang serius perkara ini. Kita faham bahawa 60 peratus daripada produk kita dieksport ke Amerika Syarikat. Ia jumlah yang besar... dan kita percaya tindakan perlu diambil,” tegas beliau.

Beliau turut berkata walaupun berlaku kelembapan ekonomi di beberapa negara, gergasi teknologi global terus melabur dalam sektor semikonduktor Malaysia termasuk Microsoft, Google dan Nvidia.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2425513