EKONOMI

Malaysia Akan Terajui Integrasi Grid Tenaga Serantau Menghubungkan Vietnam-Singapura - PM Anwar

22/05/2025 12:30 AM

PUTRAJAYA, 21 Mei (Bernama) -- Malaysia akan menerajui fasa pertama pelan integrasi grid tenaga serantau yang bercita-cita tinggi, bermula dengan ketersambungan yang berdaya maju dari segi ekonomi antara Vietnam, Malaysia dan Singapura, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Dalam fasa pertama, apa yang dianggap lebih berdaya maju dari segi ekonomi ialah untuk menghubungkan Vietnam ke Malaysia utara dan selatan, dan kemudiannya disambungkan ke Singapura melalui Grid Nasional kita,” katanya sambil menyatakan bahawa Petronas mungkin diberi peranan utama dalam melaksanakan segmen projek itu.

Bagi fasa akan datang, Anwar berkata grid serantau itu akan diperluaskan merangkumi Kemboja, Thailand dan Sarawak — dengan memanfaatkan kekuatan negeri di Malaysia Timur itu dalam sumber tenaga alternatif seperti gas.

“Ini membuka kemungkinan untuk membekalkan tenaga ke Kalimantan, yang mana terletaknya ibu negara baharu Indonesia dan juga ke selatan Filipina,” katanya.

Anwar bekata demikian semasa sesi taklimat antaranya berkaitan Sidang Kemuncak ASEAN 2025 bersama ketua-ketua pengarang media tempatan dan antarabangsa di Kompleks Seri Perdana, di sini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj dan Editor Eksekutif Perkhidmatan Berita Ekonomi Bernama Saraswathi Muniappan.

Acara itu dihadiri oleh sejumlah 83 wakil media, merangkumi 42 daripada media tempatan, 18 media antarabangsa, dan 23 lagi yang membuat liputan atas tugasan khas.

Anwar menjelaskan bahawa rancangan itu menekankan kepimpinan Malaysia dalam memacu kerjasama dan integrasi tenaga ASEAN, sejajar dengan matlamat Kepengerusian ASEAN 2025 yang merangkumi daya tahan ekonomi, ketersambungan serantau dan pembangunan mampan.

Pemangkin utama bagi visi tenaga yang diperluaskan ini, kata Perdana Menteri adalah penyelesaian isu bidang kuasa yang telah lama wujud antara syarikat minyak nasional Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan syarikat tenaga negeri Sarawak, Petroleum Sarawak Bhd (Petros).

Awal hari ini, Kerajaan Persekutuan dan Sarawak mencapai persefahaman dalam isu Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan Petroleum Sarawak Bhd (Petros) melalui pemeteraian satu deklarasi bersama di Perdana Putra, menandakan pencapaian penting dalam kerjasama tenaga antara Petronas dan Petros.

Deklarasi bersama berkenaan ditandatangani oleh  Anwar dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg

Perdana Menteri berkata perjanjian itu mencerminkan pengiktirafan bersama terhadap kerangka undang-undang utama, yang mana Sarawak menerima Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974, manakala Petronas mengiktiraf Ordinan Pengagihan Gas 2016 (DGO) Sarawak dan undang-undang kecilnya, sekali gus meletakkan Petros sebagai pengagregat gas bagi negeri itu.

Di bawah persefahaman berkenaan, Petronas akan terus memenuhi obligasi antarabangsa sedia ada, manakala operasi baharu di Sarawak akan memerlukan perjanjian komersial yang melindungi keperluan bekalan domestik negeri itu terpelihara.

“Adalah wajar bagi kerajaan Sarawak untuk memastikan bekalan gas kepada rakyatnya terjamin,” kata Anwar.

Beliau juga memuji kepimpinan Sarawak, terutamanya Premier Abang Johari kerana mengambil pendirian yang pragmatik dan konstruktif sepanjang rundingan itu berlangsung.

“Untuk adil kepada GPS dan Premier, beliau tidak pernah bersikap tidak munasabah. Beliau membenarkan rundingan diteruskan dan menghormati peranan kedua-dua entiti itu. Itulah yang membolehkan kita mencapai persefahaman ini,” katanya sambil menambah walaupun perjanjian itu mungkin dilihat sebagai kontroversi dalam kalangan beberapa pihak, tetapi semangat konsensus harus diutamakan.

“Ia satu syarikat nasional dan satu syarikat negeri. Satu dimiliki oleh Persekutuan, satu lagi oleh negeri. Kita mesti bekerjasama — dan saya bukan sahaja mewakili Semenanjung tetapi juga untuk kepentingan Sarawak. Beri sedikit masa — kebijaksanaan dan kewarasan akan menang. Saya fikir ia berhasil,” kata beliau dengan penuh harapan.

Sebagai pengerusi dan tuan rumah ASEAN 2025, Malaysia akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 26 hingga 27 Mei.

Bersempena sidang kemuncak itu, dua mesyuarat peringkat tinggi yang penting turut akan diadakan iaitu Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China, yang menjadi platform penting bagi memperluas kerjasama serantau dan antara serantau.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2425509