Oleh Noor Bakhtiar Ahmad
PUTRAJAYA, 21 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau akan membangkitkan isu berkaitan Gaza semasa Pemukiman Pemimpin ASEAN yang diadakan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46.
“Pengeboman masih berterusan. Kita telah kehilangan nilai perikemanusiaan dalam dunia yang dipenuhi kekejaman. Malaysia telah melakukan apa yang termampu, walaupun ada yang mengharapkan kita berbuat lebih.
“Tetapi dalam ASEAN, kita membina kesepakatan untuk mendesak gencatan senjata. Ia bergantung pada konteks, namun apabila saya mempengerusikan Pemukiman Pemimpin ASEAN nanti, kemungkinan besar saya akan menyentuh perkara ini,” katanya semasa sesi taklimat bersama ketua pengarang media tempatan dan antarabangsa di Kompleks Seri Perdana di sini, Rabu.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin; Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj; dan Editor Eksekutif Perkhidmatan Berita Ekonomi Bernama Saraswathi Muniappan.
Acara itu dihadiri seramai 83 wakil media, terdiri daripada 42 media tempatan, 18 media antarabangsa dan 23 yang membuat liputan atas tugasan khas.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 akan bermula Khamis ini dengan mesyuarat peringkat pegawai kanan, diikuti mesyuarat peringkat menteri pada 25 Mei, manakala mesyuarat peringkat ketua kerajaan akan berlangsung pada 26 Mei.
Malaysia mengambil alih Jawatan Pengerusi ASEAN daripada Laos pada 1 Jan 2025 dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, yang mencerminkan aspirasi negara untuk membentuk ASEAN yang bersatu dan makmur.
Ini merupakan kali kelima Malaysia memegang jawatan Pengerusi ASEAN selepas 1977, 1997, 2005 dan 2015.
ASEAN yang diasaskan pada 8 Ogos 1967 kini terdiri daripada 10 negara Asia Tenggara: Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam, manakala penyertaan Timor-Leste sebagai negara anggota masih dalam proses.
-- BERNAMA