JENAYAH & MAHKAMAH

Dua Warga Emas Maut Kemalangan Dua Kenderaan Di Slim River

22/05/2025 02:18 AM

IPOH, 21 Mei (Bernama) -- Dua warga emas maut manakala lima lagi cedera selepas kereta yang mereka naiki bertembung dengan sebuah kereta pacuan empat roda di Jalan Kampung Kuala Slim, Slim River malam ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarozi Nor Ahmad berkata mangsa yang maut adalah dua lelaki masing-masing berusia 73 tahun iaitu pemandu dan penumpang kereta Proton Saga, manakala pemandu Toyota Hilux berusia 30 tahun serta penumpang yang juga empat warga asing mengalami cedera ringan.  

“Pihak kami menerima panggilan kecemasan pada 8.19 malam tadi dan menggerakkan lapan anggota bomba serta satu jentera ke lokasi kejadian. 

“Kemalangan jalan raya itu melibatkan sebuah kereta Proton Saga dan sebuah kenderaan Toyota Hilux yang bertembung, serta mangsa iaitu pemandu dan penumpang kereta disahkan maut di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2425518