JENAYAH & MAHKAMAH

MAQIS P.Pinang Sita 51.3 Tan Konsainan Ikan Sejuk Beku Ada DNA Khinzir

20/05/2025 07:18 PM

BUTTERWORTH, 20 Mei (Bernama) -- Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang menyita 51.3 tan konsainan dagangan produk ikan sejuk beku yang mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) khinzir dan ayam dari China di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT), di sini hari ini.

MAQIS Pulau Pinang dalam kenyataan memaklumkan penahanan itu susulan pemeriksaan terperinci pegawai penguat kuasanya yang mendapati dokumen import dagangan itu mengandungi maklumat yang mengelirukan.

"Barangan itu diisytiharkan sebagai "Frozen Cuttlefish Intestines" berbentuk sosej sejuk beku, "Frozen Cuttlefish Balls" serta "Frozen Cuttlefish Tofu", dan analisis DNA oleh Jabatan Kimia Malaysia mengesahkan bahawa produk tersebut mengandungi DNA khinzir dan ayam.

"Ia bercanggah dengan deklarasi asal dalam dokumen import dan kesemua konsainan dagangan seberat 51.3 tan bernilai RM63,534.57 itu disita sepanjang tempoh siasatan kes berjalan," menurut kenyataan itu.

MAQIS memaklumkan kes itu disiasat di bawah Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011(Akta 728) kerana mengemukakan maklumat palsu, tidak tepat atau mengelirukan.

Kenyataan itu juga memaklumkan pengimport telah dikenakan kompaun dan barangan dagangan akan dilupuskan mengikut tindakan penguatkuasaan yang diperuntukkan di bawah akta yang sama.

-- BERNAMA


 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2424988