WILAYAH - SARAWAK > BERITA

AS Akan Kenakan Tarif Global 10 Peratus Di Bawah Seksyen 122 Susulan Keputusan Mahkamah Agung

21/02/2026 07:43 AM

KUALA LUMPUR, 21 Feb (Bernama) -- Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berkata AS akan mengenakan tarif global sebanyak 10 peratus di bawah Seksyen 122 sebagai tambahan kepada tarif biasa yang dikenakan ketika ini.

Trump berkata beliau akan menandatangani perintah itu dan memulakan beberapa siasatan di bawah Seksyen 301 serta siasatan lain untuk melindungi negara itu daripada amalan perdagangan yang tidak adil.

“Sehubungan itu, berkuat kuasa serta-merta, semua tarif Keselamatan Negara, Seksyen 232 dan tarif Seksyen 301 sedia ada kekal dilaksanakan dan berkuat kuasa sepenuhnya,” katanya menerusi akaun Truth Social beliau pada Jumaat selepas keputusan Mahkamah Agung AS pada hari yang sama membatalkan tarif timbal balas yang dikenakan oleh presiden itu.

Mengenai fentanyl, beliau berkata tarif  itu telah mengurangkan kemasukan fentanyl ke AS sebanyak 30 peratus.

"Semua tarif berkenaan kekal, tetapi alternatif lain pada masa ini akan digunakan untuk menggantikan tarif yang ditolak secara salah oleh mahkamah," kata Trump.

Pada Jumaat, Kyodo melaporkan Mahkamah Agung AS memutuskan bahawa penggunaan kuasa darurat oleh Trump untuk mengenakan apa yang digelar tarif timbal balas ke atas hampir semua rakan dagang AS adalah tidak berperlembagaan.

Mengekalkan keputusan mahkamah lebih rendah, mahkamah tertinggi turut memutuskan bahawa Trump melampaui kuasa presidennya apabila menggunakan Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa 1977 untuk mengenakan tarif global secara meluas, termasuk duti berkaitan fentanyl ke atas barangan dari China, Kanada dan Mexico.

Keputusan itu dikeluarkan dalam penghakiman setebal 170 muka surat.

Susulan keputusan terkini oleh mahkamah itu, banyak negara termasuk Malaysia mungkin perlu menilai semula perjanjian yang dimeterai sebelum ini.

Malaysia dan AS memeterai Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) pada 26 Okt 2025.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan