WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Indonesia Lanjutkan Kontrak Exxonmobil Hingga 2055, Buka Pilihan Import Etanol

21/02/2026 01:31 PM

JAKARTA, 21 Feb (Bernama) -- Indonesia akan melanjutkan kerjasama minyak dan gas dengan ExxonMobil yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) sehingga 2055, dengan komitmen pelaburan tambahan sekitar US$10 bilion.

Menteri Tenaga dan Sumber Mineral Bahlil Lahadalia, berkata beberapa aspek pelanjutan kontrak masih perlu diputuskan sebelum perjanjian muktamad ditandatangani.

“Ada beberapa perkara yang perlu kita selesaikan, termasuk perkongsian pemulihan kos antara hasil negara dan pendapatan kontraktor Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC),” katanya semasa sidang media maya dari Washington, menurut Agensi Berita ANTARA pada malam Jumaat.

Bahlil berkata ExxonMobil, yang telah beroperasi di Indonesia lebih 100 tahun, merupakan penyumbang pengeluaran minyak terbesar negara selepas Pertamina, dengan pengeluaran sekitar 170,000 hingga 185,000 tong sehari.

Dalam perkembangan berkaitan, Bahlil berkata kerajaan juga membuka peluang untuk mengimport etanol, termasuk dari AS, sebagai sebahagian usaha membangunkan tenaga yang lebih bersih.

“Kami akan mewajibkan campuran petrol dengan etanol. Tujuannya adalah untuk mewujudkan peluang perniagaan baharu di Indonesia,” katanya.

Beliau menambah import etanol kekal sebagai pilihan selagi pengeluaran domestik tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan negara.

“Sehingga pengeluaran domestik kita dapat memenuhi keperluan negara, ruang untuk import masih terbuka,” katanya, sambil menekankan bahawa dasar import berjalan selari dengan usaha meningkatkan pengeluaran tenaga domestik.

Bahlil berkata program wajib pencampuran etanol yang dirancang adalah sebahagian daripada usaha lebih luas untuk memperkukuh keselamatan dan kedaulatan tenaga negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan