WILAYAH - TENGAH > BERITA

Kebajikan PDRM Perlu Terus Diberi Keutamaan - Dr Wan Azizah

21/02/2026 01:58 PM

KUALA LUMPUR, 21 Feb (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) ialah institusi penting negara dan kebajikan anggotanya perlu terus diberi keutamaan selaras dengan keprihatinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dr Wan Azizah, yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, berkata jasa pasukan keselamatan itu wajar dihargai kerana mereka sering berdepan risiko, tekanan kerja dan terpaksa mengorbankan masa bersama-sama keluarga demi menjalankan amanah menjaga ketenteraman awam.

“PDRM ini amat penting dalam negara kita... jangan ambil mudah apa yang PDRM buat... jadi, kita mesti jaga PDRM seperti yang dimahukan Perdana Menteri untuk jaga anggota yang menjaga keamanan negara kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Sumbangan Yayasan Seri Negara dan Penyerahan Zakat Wakalah PBLT Sdn Bhd di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dan Penaung Yayasan Seri Negara Tan Sri Dr Mazlan Lazim.

Beliau berkata bantuan yang disalurkan melalui mekanisme zakat wakalah kepada anggota PDRM berperanan membantu meringankan beban kewangan penerima termasuk perbelanjaan harian, pendidikan anak-anak dan keperluan asas keluarga khususnya dalam situasi kos sara hidup yang mencabar.

Menyentuh kepentingan zakat, Dr Wan Azizah berkata amalan itu bukan sekadar tuntutan ibadah malah menyumbang kepada keseimbangan sosial dengan memastikan golongan yang memerlukan tidak terpinggir terutama pada bulan Ramadan.

Sementara itu, Mohd Khalid berkata sebanyak 200 penerima dalam kalangan asnaf warga PDRM disantuni pada majlis berkenaan melibatkan 100 orang dari Bukit Aman manakala bakinya dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras.

Beliau berkata mereka menerima bantuan wang tunai dan bakul makanan selain tiga penerima yang turut diberikan kerusi roda.

Mohd Khalid turut merakamkan penghargaan kepada Yayasan Seri Negara dan PBLT Sdn Bhd atas komitmen berterusan menjaga kebajikan warga PDRM terutama melalui program zakat serta pembangunan sosial sejak lebih tiga tahun lepas.

“Kerjasama ini membuktikan bahawa model kolaborasi strategik antara pertubuhan bukan kerajaan, sektor swasta dan agensi penguat kuasa mampu memberi manfaat kepada masyarakat termasuklah golongan asnaf polis,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan