PUTRAJAYA, 6 Feb (Bernama) -- Kerajaan menyambut baik serta menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan yang memutuskan bahawa perkataan “jelik” dan “menyakitkan hati” di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] adalah sah serta selaras dengan Perlembagaan.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI berkata keputusan itu dibuat secara sebulat suara oleh panel mahkamah.
“Pagi tadi, ada keputusan di Mahkamah Persekutuan mengenai kes yang dibawa oleh seorang aktivis Heidy Quah, Mahkamah Persekutuan secara sebulat suara memutuskan bahawa perkataan 'jelik’ dan 'menjengkelkan' di bawah Seksyen 233 Akta 588 adalah sah dan berperlembagaan.
“Jemaah Menteri menerima baik dan menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan,” katanya pada sidang media mingguan di sini hari ini.
Mahkamah Persekutuan hari ini mengembalikan perkataan “jelik” dan “menyakitkan hati” ke dalam peruntukan Seksyen 233(1)(a) Akta 588 selepas memutuskan kedua-duanya tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Seksyen berkenaan menjadikan sebagai suatu kesalahan jenayah, apa-apa komunikasi dalam talian yang bersifat lucah, tidak senonoh, palsu, mengancam atau menyinggung dengan niat untuk menjengkelkan, mendera, mengugut atau mengganggu orang lain, ialah suatu kesalahan jenayah.
Panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh membuat keputusan penting itu selepas membenarkan sebahagian rayuan kerajaan bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang sebelum ini memutuskan dua perkataan itu di bawah akta berkenaan sebagai tidak berperlembagaan dan tidak sah.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata Kementerian Komunikasi telah melakukan pindaan terhadap Akta 588 pada 2024 bagi memastikan akta itu tidak disalahgunakan.
“Pindaan yang dibuat meletakkan bukan hanya suatu standard ataupun suatu tahap yang lebih tinggi, ia bukan lagi (sekadar) jelik, tetapi jelik melampau bersama dengan enam huraian yang sangat jelas menyatakan apakah sesuatu itu jelik ataupun jelik melampau.
“Kita percaya dengan pindaan ini, insya-Allah Seksyen 233 akta ini lebih sukar atau tidak begitu mudah untuk disalahgunakan,” katanya.
Tahun lepas, Mahkamah Rayuan memutuskan perkataan “jelik” dan “menyakitkan hati” dalam Seksyen 233 sebagai tidak berperlembagaan dan membatalkannya selepas membenarkan rayuan Quah untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak samannya pada 2023.
Pada Julai 2021, Quah, 31, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan membuat kenyataan menyinggung perasaan menerusi satu hantaran di Facebook dan pada 2022, dia dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) selepas mahkamah mendapati pertuduhan mengikut Seksyen 233(1)(a) adalah cacat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial