WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Jangan Pandang Rendah Keupayaan Universiti Awam Laksana Kajian Pilihan Raya PBT - Fahmi

06/02/2026 08:50 PM

PUTRAJAYA, 6 Feb (Bernama) -- Semua pihak diminta tidak memandang rendah keupayaan universiti awam seperti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) untuk melaksanakan kajian berhubung kebolehlaksanaan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pelantikan Datuk Bandar Kuala Lumpur (KL).

Bercakap pada sidang media mingguan di sini hari ini, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata UIAM wajar dilihat sebagai institusi pengajian tinggi yang berkeupayaan menjalankan kajian akademik dan tidak sepatutnya dipandang rendah oleh mana-mana pihak, terutama ahli politik.

“Jangan pandang rendah terhadap keupayaaan institusi pengajian tinggi negara, khususnya UIAM,” kata Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Setiausaha Agung PAS, yang juga Ketua Whip Perikatan Nasional Datuk Seri Takiyuddin Hassan, yang mempersoalkan pemilihan UIAM untuk melaksanakan kajian berkenaan.

Fahmi berkata pihak terlibat tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang memandang rendah keupayaan universiti tempatan dan beliau mengakui kesal dengan tindakan tersebut.

“Bagi saya, dia tidak sepatutnya berkata begitu. Sangat tidak bertanggungjawab dan dia melihat ke bawah satu institusi yang sangat penting yang telah melahirkan ramai, bukan hanya pemimpin dalam negara kita, malah pemimpin di negara lain.

“Jadi, sikap ahli politik ini, sebagai Setiausaha Agung sebuah parti, dia tidak boleh ada sikap seperti ini. Bagi saya, ini satu sikap yang sangat buruk," katanya.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata setakat ini tiada sebarang keputusan dibuat berhubung kajian berkenaan kerana hasil kajian belum dibentangkan kepada Jemaah Menteri.

Beliau berkata perkara itu hanya dimaklumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh secara lisan dan bukannya melalui sebarang nota atau memorandum Jemaah Menteri.

“Belum ada hasil, jadi tidak boleh buat apa-apa keputusan … tidak ada apa-apa yang dibentangkan kepada Jemaah Menteri, cuma pemakluman lisan,” katanya.

Pada 3 Feb lepas, Hannah berkata kajian kebolehlaksanaan bagi mengadakan pilihan raya PBT di ibu kota termasuk pemilihan Datuk Bandar KL telah dijalankan sejak pentadbiran Menteri Wilayah Persekutuan sebelum ini.

Hannah berkata kajian berkenaan bermula sejak Disember lepas susulan Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian dikemukakan oleh Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan