DUNIA > BERITA

Hubungan China-Malaysia Akan Terus Cemerlang Pada 2026 - Duta China

07/02/2026 12:27 AM

KUALA LUMPUR, 6 Feb (Bernama) -- China dan Malaysia akan terus memacu kecemerlangan pada 2026 dan bersama-sama melakar lembaran gemilang dalam fasa baharu jubli emas hubungan kedua-dua negara, kata Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing.

Beliau berkata 2025 merupakan tahun mercu tanda dalam pembangunan hubungan China-Malaysia, yang diserlahkan melalui lawatan Presiden Xi Jinping, kunjungan kedua beliau selepas 12 tahun.

“Semasa lawatan ini, kenyataan bersama telah dibuat bagi menunjukkan komitmen kedua-dua negara untuk bersama-sama membina komuniti China-Malaysia berpaksikan masa depan bersama pada tahap strategik yang tinggi, sekali gus membawa kedua-dua negara ke fasa baharu pembangunan hubungan dua hala, yang terbaik dalam sejarah,” katanya dalam ucapan pada majlis resepsi Tahun Baharu Cina yang dihoskan oleh Kedutaan China di Kuala Lumpur pada Jumaat.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof menghadiri majlis tersebut.

Ouyang berkata momentum hubungan dua hala pada 2025 diperkukuh lagi dengan dua lawatan Perdana Menteri China Li Qiang ke Malaysia serta lawatan keempat Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim ke China sejak memegang jawatan, kesemuanya telah memperkukuh hubungan persahabatan China-Malaysia secara menyeluruh.

Beliau menambah bahawa kerjasama praktikal antara kedua-dua negara terus memberikan manfaat yang besar kepada rakyat masing-masing.

Memetik data rasmi China, Ouyang berkata perdagangan dua hala antara China dan Malaysia mencecah US$191.66 bilion pada 2025, satu pencapaian memberangsangkan di tengah-tengah kemelesetan ekonomi global.

Beliau berkata China telah menjadi rakan dagang terbesar Malaysia selama 17 tahun berturut-turut, manakala projek kerjasama utama seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) telah mencapai 91 peratus siap, dan projek "Dua Negara, Taman Berkembar" sedang melalui proses naik taraf selanjutnya.

Mengenai pertukaran antara rakyat, Ouyang berkata hasil daripada pelaksanaan dasar pengecualian visa bersama, rakyat kedua-dua negara kini boleh melawat satu sama lain pada bila-bila masa.

Pada 2025, seramai 4.77 juta pelancong China melawat Malaysia, manakala 716 penerbangan kini beroperasi setiap minggu antara China dan Malaysia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan