WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Lelaki Ditahan Bantu Siasatan Kematian Bapa

24/01/2026 05:51 PM

KUALA LUMPUR, 24 Jan (Bernama) -- Helah seorang lelaki yang membawa bapanya dalam keadaan separa sedar ke hospital dengan mendakwa terjatuh, terbongkar selepas pemeriksaan perubatan mendapati kecederaan warga emas berusia 76 tahun itu berpunca daripada objek tumpul.

Ketua Polis Daerah Serdang ACP Muhamad Farid Ahmad berkata dalam kejadian Isnin lepas, lelaki berusia 40 tahun itu mendakwa ayahnya terjatuh beberapa kali di rumah mereka di Seri Kembangan sebelum menghantarnya ke Jabatan Kecemasan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) kira-kira 3 petang.

Bagaimanapun, hasil pemeriksaan awal mendapati corak lebam pada badan mangsa tidak teratur dan disyaki akibat kecederaan oleh objek tumpul sebelum pegawai perubatan yang bertugas kemudian membuat laporan polis.

"Bertindak atas maklumat pada 9.30 malam hari sama, sepasukan polis telah membuat tangkapan terhadap lelaki berkenaan di lobi HCTM," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pada peringkat awal kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan, namun diubah kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan apabila warga emas berkenaan meninggal dunia pada Khamis akibat kecederaan di kepala berpunca daripada objek tumpul.

Suspek yang mempunyai 11 rekod jenayah lampau namun negatif terhadap dadah, katanya kini direman hingga 30 Jan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan