WILAYAH - SELATAN > BERITA

Dua Individu Terbabit Kes Pemerasan, Larikan Warga India Ditahan

24/01/2026 11:40 PM

ISKANDAR PUTERI, 24 Jan (Bernama) -- Polis berjaya menyelesaikan kes pemerasan seorang lelaki warga India yang dilarikan dari sebuah hotel di Gelang Patah di sini Selasa lepas dalam tempoh kurang 24 jam, dengan penahanan dua individu. 

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP M Kumarasan berkata pihaknya menerima laporan daripada rakan senegara mangsa kira-kira pukul 11.08 malam pada Isnin, yang memaklumkan dia telah dibawa individu tidak dikenali. 

Beliau berkata pengadu kemudian dihubungi suspek yang meminta bayaran RM5,000 sebagai syarat untuk melepaskan mangsa yang berusia 46 tahun. 

“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis berjaya mengesan dan menyelamatkan mangsa di Gelang Patah kira-kira 12.15 tengah malam Selasa. 

"Seterusnya, kita telah menahan seorang lelaki dan seorang wanita tempatan berusia lingkungan 26 hingga 32 tahun di Permas Jaya, di sini pada 1 pagi, hari sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kumarasan berkata lelaki terbabit mempunyai rekod jenayah dan dadah, manakala ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua mereka positif dadah jenis syabu.

Beliau berkata turut dirampas sebuah kereta, tiga telefon bimbit, barang kemas berserta resit, komputer riba, beg serta beberapa dokumen. 

"Hasil siasatan mendapati mangsa diperdaya dan diperas ugut tiga suspek terdiri daripada dua lelaki serta seorang wanita tempatan dan dia dipercayai menjalin hubungan sulit dengan suspek wanita, yang merupakan teman wanita suspek yang masih bebas,” katanya.

Beliau berkata kedua-dua suspek direman enam hari hingga 25 Jan manakala seorang lagi suspek lelaki tempatan berusia 30 tahun sedang dikesan bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 363 dan Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

“Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat kanan ASP Mohd Ezwady Mat Lajis di talian 016-6833692 atau 07-5113622 dan hotline di 07-5114486," katanya. 

Sementara itu, Kumarasan dalam kenyataan berasingan berkata sembilan lelaki tempatan berusia lingkungan 22 hingga 37 tahun ditahan kerana dipercayai terlibat dalam kes pergaduhan di Tanjung Kupang di sini, pada 17 Jan lepas. 

Beliau berkata dalam kejadian kira-kira 11.30 malam itu, seorang lelaki mengalami kecederaan pada kepala, badan dan tangan kiri sebelum dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah di sini untuk rawatan.

“Hasil Operasi Cantas yang dijalankan dari 18 hingga 20 Jan berjaya menahan semua suspek di sekitar Johor Bahru. Semakan mendapati lapan daripada mereka mempunyai rekod jenayah dan dadah, manakala ujian saringan air kencing mendapati empat suspek positif dadah jenis ganja.

"Turut dirampas sebatang rotan dan sebilah pedang. Hasil siasatan mendapati pergaduhan berpunca akibat mabuk," katanya. 

Kumarasan berkata semua suspek telah dituduh di Mahkamah Majistret di sini semalam mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan iaitu merusuh dan mereka didenda sebanyak RM2,000 setiap seorang.

"Dua lagi suspek turut dituduh di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan, iaitu menyebabkan cedera dengan menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya dan didenda RM2,000 setiap seorang," katanya. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan