WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Banjir Sumatera: “Bu Sedekah, Bu” Rayuan Mangsa

21/12/2025 09:31 AM

Daripada Hasnah Jusid

ACEH, 21 Dis (Bernama) -- “Bu sedekah, bu”, kalimah itu seakan menjadi ungkapan yang sering didengari oleh setiap tetamu yang berkunjung ke Kampung Geudumbak, Mukim Langkahan, Aceh Utara, antara kawasan paling terjejas teruk akibat banjir besar pada hujung November lepas.

Daripada kanak-kanak kecil sehinggalah orang dewasa, mereka tidak jemu mengulangi skrip yang sama, setia menunggu di kiri dan kanan kampung dengan tatapan penuh harapan terhadap setiap kenderaan asing yang memasuki kawasan itu agar diberikan bantuan. 

Walaupun hanya terletak kira-kira 70 kilometer dari penginapan penulis di Lhokseumawe, bandar kedua terbesar di Aceh, perjalanan ke kampung berkenaan tidak mudah, malah mengambil masa hampir tiga jam setengah. 

Laluan yang perlu ditempuh bukan sahaja tidak berturap dan sempit, malah ada bahagian jalan yang rosak teruk dan berlumpur, menyukarkan dan melambatkan pergerakan masuk kenderaan.

Bendera-bendera putih sebagai tanda rayuan bantuan segera juga kelihatan dipacak di kebanyakan rumah yang masih berdiri serta khemah-khemah daif yang dibangunkan penduduk di tepi-tepi jalan berhampiran. 

Sebaik tiba di pos operasi bencana yang terletak bersebelahan sungai, pemandangan yang terbentang benar-benar membuatkan penulis terkedu melihat lautan kayu balak yang terdampar di sepanjang sungai,

Situasi itu sekali gus menghapuskan keadaan asal kawasan itu, sungai seakan lenyap, digantikan ‘daratan kayu’ sejauh mata memandang.

“Ada bawa telekung, bu?” sapa dua wanita berusia sekitar 30-an sebaik penulis melangkah masuk ke pusat operasi bencana di kawasan itu, sekali gus menandakan apa yang mereka harapkan jauh lebih besar daripada wang semata-mata.

Tidak kurang ada juga yang meminta ubat kerana sakit kepala dan sakit gigi. 

Keperluan asas seperti ubat, makanan, pakaian, telekung, tuala wanita, kelambu dan khemah amat mendesak di sini dengan bantuan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kerajaan mula tiba.

Tiang elektrik mula dibaiki selain dapur umum turut dibuka oleh NGO dan syarikat swasta bagi menyediakan makanan kepada mangsa banjir.

Sepanjang dua hari berada di situ, penulis menyaksikan ada penduduk yang  sanggup berkaki ayam meredah lumpur tebal untuk mendapatkan bantuan di pusat operasi bencana, ada yang datang dengan kecederaan  pada kaki, ada yang perlu dipapah. 

Ketua Kampung Geudumbak M. Daud Husin berkata terdapat kira-kira 1,000 penduduk daripada 450 keluarga tinggal di kawasan itu, manakala lebih 150 hektar kawasan kebun penduduk di hulu kampung musnah menyebabkan kesemua mereka kini hilang punca pendapatan sekelip mata.

“Hampir 90 peratus rumah di kampung ini juga hancur,” katanya sambil menambah mereka kini memerlukan bantuan asas seperti khemah penempatan sementara dan tandas. 

Menurut data terkini Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB), sebanyak 1,090 orang dilaporkan terkorban dalam bencana yang melanda tiga wilayah, iaitu Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat pada 26 Nov, manakala hampir 200 orang dilaporkan masih hilang. 

Misi Kemanusiaan ke Sumatera anjuran MyCARE dan pasar raya Econsave bermula 18 hingga 23 Dis ini bagi membantu penduduk yang terjejas akibat bencana itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan