WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Selangor Jangka Meterai Akta 672 Pada September 2026 - Exco

17/12/2025 06:48 PM

SHAH ALAM, 17 Dis (Bernama) -- Selangor dijangka memeterai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) pada suku ketiga 2026 atau selewat-lewat September tahun hadapan.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri Datuk Ng Suee Lim berkata pemeteraian akta itu membolehkan penguatkuasaan dan pemantauan dilakukan dengan lebih tegas pada skala yang besar khususnya kes pembuangan sampah haram.

Beliau berkata kerajaan negeri telah mengadakan libat urus penilaian dengan pihak Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pengurusan Awam (SWCorp) serta bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Di samping itu, katanya kerajaan negeri telah menyerahkan pelbagai dokumen dan inventori berkaitan pihak berkuasa tempatan (PBT) kepada kerajaan Persekutuan.

“Sudah satu setengah tahun kita menyerahkan kesemua keperluan tersebut termasuk melibatkan pihak ketiga. Kita sudah sampai peringkat Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS).  

“Kalau tiada aral melintang, kita jangka suku ketiga pada September 2026, kita boleh tandatangan setuju bersama kalau syarat-syaratnya semua dipersetujui. Boleh kita laksanakan,” katanya kepada pemberita pada Op Terjah Pembersihan Awam di Seksyen 7 di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah Urusan KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) Datuk Ramli Mohd Tahir

Ng berkata kepentingan dan kebaikan pelaksanaan akta terbabit adalah memberi kuasa lebih besar kepada pemantauan dan pentadbiran terutama melibatkan penguatkuasaan terhadap aktiviti pelupusan sampah haram.

“Dalam akta tersebut menyatakan sesiapa yang terlibat dengan pembuangan sampah haram boleh dihadapkan ke mahkamah dan dikenakan kompaun sehingga RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun.

“Berbanding undang-undang kecil PBT, hukuman yang diperuntukkan adalah denda sebanyak RM1,000. Jadi, orang melupuskan sampah secara haram tidak takut dan enggan masuk ke pusat pelupusan ditetapkan kerana hendak jimat duit,” katanya.

Dalam pada itu, Ng berkata PBT boleh mengenakan tindakan saman atau menggantung mana-mana perniagaan atau pengusaha yang tidak menggunakan serta menyelenggara perangkap minyak sehingga menyebabkan longkang tersumbat. 

Dalam perkembangan sama, Ng berkata kerajaan negeri menerusi KDEBWM akan turut meningkatkan pemantauan terhadap kutipan sampah bagi memastikan semua kontraktor pembersihan melakukan kerja.

“Kita akan pastikan mereka turun ke kawasan mengikut jadual. Kita akan ada penyelia dan pantau mereka. Kalau mereka gagal, kita akan bagi penalti,” katanya.

Beliau berkata KDEBWM sedang melakukan pemetaan dan pemantauan kawasan hotspot sampah secara menyeluruh dan antara kawasan yang dikenal pasti adalah Sentosa dan Kota Kemuning.

Ng berkata pihaknya turut menerima teguran daripada titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk terus memberikan khidmat  terbaik kepada negeri dan rakyat serta tidak akan menyalahkan mana-mana pihak.

“Kita tidak mahu memberikan alasan kenapa kita tidak lakukan dengan baik. Kita (perlu) cari penyelesaian untuk mengatasinya,” katanya.

Semalam, media melaporkan kerajaan Selangor menjunjung kasih titah Sultan Sharafuddin yang menzahirkan teguran terhadap tahap kebersihan dan pengurusan sampah di beberapa kawasan di bawah seliaan PBT. 

Sultan Sharafuddin dalam temu bual dengan Bernama baru-baru ini bertitah perancangan segera perlu dilakukan untuk membersihkan negeri Selangor dengan banyak aduan mengenai keadaan kotor diterima baginda.  

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan