Daripada Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif
BANGKOK, 17 Dis (Bernama) -- Kontinjen Malaysia kini hanya memerlukan lapan pingat lagi untuk mencapai sasaran keseluruhan 200 pingat tanpa mengira warna pada Sukan SEA Thailand 2025.
Dengan saingan berbaki tiga hari sebelum temasya sukan dwitahunan itu melabuhkan tirainya, Malaysia setakat ini meraih 192 pingat, iaitu 41 emas, 45 perak dan 106 gangsa sekali gus meletakkan kontinjen negara di landasan tepat untuk mencapai sasaran.
Esok, atlet negara akan meneruskan perjuangan dengan beberapa acara final antaranya melibatkan memanah compound individu lelaki menerusi Mohd Juwaidi Mazuki yang akan turut beraksi dalam acara compound berpasukan lelaki.
Selain itu, sukan seperti terjun, menembak dan acara berbasikal trek turut berpeluang menghadirkan kilauan pingat emas sekali gus mampu mengurangkan jurang pungutan pingat dalam carta kedudukan.
Tumpuan esok juga terarah kepada perlawanan penentuan gangsa bola sepak, menyaksikan skuad Harimau Muda akan membuat perhitungan menentang Filipina di Stadium Nasional Rajamangala.
Kali terakhir skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara menaiki podium adalah ketika memenangi perak pada edisi 2017 di Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, kem Malaysia meneruskan prestasi cemerlang hari ini dengan beberapa acara utama menyumbang emas termasuk pencak silat, Muay Thai, skuasy, kriket, menembak, bola jaring dan e-sukan.
Pencak silat menyumbang dua pingat emas menerusi kategori Kelas C wanita dan Kelas D lelaki apabila Ummi Mashitah Hassan dan Muhammad Izzul Irfan masing-masing mengungguli saingan final.
Dalam sukan Muay Thai, Malaysia terus menunjukkan dominasi apabila Angie Yan Jia Chi meraih emas acara individu Waikru wanita dengan menewaskan juara dunia dari Thailand Thanawan Thongduang.
Dua lagi emas sukan itu disumbangkan Wassof Rumijam dalam kategori 54 kilogram (kg) lelaki dan Mohd Mikail Ghazali Zulfikar (lelaki bawah 57kg) dengan masing-masing menewaskan lawan tuan rumah.
Skuad kriket lelaki negara pula mengesahkan pingat emas acara T10 selepas menewaskan Indonesia dalam aksi terakhir liga sepusingan.
Acara skuasy menyaksikan gandingan Harith Danial Jefri-Sehveetraa Kumar menjuarai acara beregu campuran jumbo sebelum Harith Danial sekali lagi mencipta kejayaan apabila bergandingan dengan Low Wa Sern untuk meraih emas acara beregu lelaki jumbo.
Dalam saingan e-sukan, pasukan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) wanita negara menyumbang emas selepas menewaskan Filipina 4-3 dalam aksi final yang berlangsung sengit.
Kejayaan hari ini dilengkapkan dengan emas penembak negara Gan Chen Jie dalam acara 50 meter tiga posisi wanita dan skuad bola jaring wanita negara yang muncul juara selepas menewaskan Singapura 52-49 pada perlawanan akhir.
Setakat 10 malam waktu tempatan, Thailand terus kukuh di persada pungutan pingat dengan 185 emas, 120 perak dan 79 gangsa, diikuti Indonesia kedua (72, 85, 94), Vietnam ketiga (64, 68, 94) dan Singapura keempat (46, 42, 63).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial