KUANTAN, 11 Okt (Bernama) -- Lima individu termasuk dua lelaki tempatan ditahan selepas dikejar polis dari Gua Musang dan berakhir di hadapan Balai Polis Dong, Raub semalam.
Ketua Polis Daerah Raub Supt Mohd Shahril Abdul Rahman berkata dalam kejadian pada 10.15 pagi itu, pasukan peronda Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang telah mengesan sebuah kereta Proton Preve yang dinaiki lima individu di Jalan Tanah Putih, Gua Musang, Kelantan.
Beliau berkata ketika diminta memberhentikan kenderaan, pemandu enggan berbuat demikian dan memecut sejauh kira-kira 80 kilometer sebelum terbabas di hadapan Balai Polis Dong selepas melanggar tiang lampu isyarat serta sebuah kenderaan lain.
Mohd Shahril berkata pemeriksaan mendapati terdapat tiga wanita warga Indonesia tanpa dokumen sah bersama 34 biji pil disyaki dadah jenis yaba dan satu peket dipercayai syabu di dalam kenderaan itu.
“Siasatan awal mendapati dua suspek lelaki tempatan pula berperanan sebagai pengangkut atau transporter migran yang menerima bayaran bagi membawa warga asing dari Kelantan ke Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Shahril berkata siasatan lanjut turut mendapati nombor pendaftaran kereta itu juga palsu.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM), Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial