WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Belanjawan 2026 Seimbangkan Keperluan Nasional Depani Cabaran Global, Pembangunan Negeri

10/10/2025 11:36 PM

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2026 disifatkan mempunyai keseimbangan dalam memenuhi keperluan nasional dalam menangani cabaran global semasa dan pada masa sama tidak mengetepikan kepentingan pembangunan di negeri-negeri.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata Belanjawan 2026 membuktikan komitmen Kerajaan Perpaduan dalam memastikan pembangunan bersifat inklusif dan seimbang di seluruh negara, terutamanya keperluan rakyat dalam aspek infrastruktur asas, pendidikan, keusahawanan, kemudahan sosial dan kebajikan masyarakat luar bandar termasuk komuniti Orang Asli.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta kerajaan Persekutuan atas perhatian besar diberikan kepada negeri itu menerusi pembentangan Belanjawan 2026.

"Kerajaan negeri amat menghargai sokongan berterusan kerajaan Persekutuan, dan kami akan memastikan semua projek dirancang akan dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab supaya manfaatnya dapat dirasai rakyat secara langsung," katanya dalam kenyataan hari ini.

Antara projek utama diumumkan khusus untuk Pahang ialah naik taraf Lebuh Raya Kuantan–Segamat di Rompin, pembinaan jambatan konkrit di Maran, pemajuan Kampung Bongsu di Temerloh, pembinaan Klinik Kesihatan di Pos Lenjang, Lipis serta pembinaan sekolah baharu dan pembaikan sekolah di beberapa daerah.

Turut diberikan tumpuan ialah membina jalan kampung di kawasan Orang Asli, menggantikan paip usang, kemudahan untuk peniaga pasar malam di Jerantut, program bimbingan keusahawanan kepada banduan di Penjara Penor, serta pembinaan rumah keluarga anggota tentera dan kuarters imigresen.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata belanjawan keempat di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI itu akan meletakkan Malaysia dalam hala tuju yang tepat bagi mempercepat kemajuan ekonomi di samping mengukuhkan sosioekonomi rakyat.

"Pada peringkat negeri Selangor, kami menerima dengan amat positif pengiktirafan Selangor Aero Park (SAP) bersama Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) supaya memposisikan Malaysia sebagai pusat penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) logistik dan kargo serantau," katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Persekutuan yang meningkatkan peruntukan kepada Kementerian Pendidikan kepada RM66.2 bilion berbanding RM64.2 bilion tahun lepas, yang antaranya melibatkan pembinaan sembilan sekolah baharu di Selangor seperti Sekolah Kebangsaan (SK) Alam Suria, SK Puchong Permai, SK Taman Desa (3) dan SK Pendidikan Khas Kota Damansara.

Pejabat Ketua Menteri Melaka dalam kenyataan hari ini pula menyifatkan inisiatif pelancongan diumumkan dalam Belanjawan 2026 akan membuka peluang ekonomi baharu kepada pemain industri berkenaan di negeri itu, khususnya menjelang penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).

“Sebagai negeri pelancongan, kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menyambut baik peruntukan melebihi RM700 juta melalui pelbagai inisiatif pelancongan termasuk pelepasan cukai hingga RM1,000 kepada rakyat yang melancong dalam negara.

"Kerajaan negeri juga menyambut baik pelbagai inisiatif lain diumumkan, termasuk projek pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam di Melaka dengan pelaksanaannya akan diberikan penelitian secara inklusif dalam penyediaan Bajet Negeri Melaka 2026 pada November nanti," menurut kenyataan itu.

Antara projek melibatkan Melaka dalam Belanjawan 2026 termasuk pembinaan jalan baharu dari Jalan Masjid Tanah–Kuala Linggi ke Telok Gong, naik taraf jalan Sungai Udang ke Masjid Tanah, naik taraf Muzium Samudera Fasa 1 di Jalan Quayside, serta pembinaan semula bangunan sekolah dan asrama di SMK Ghafar Baba dan SMK Tinggi Perempuan Melaka.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan hari ini membentangkan Belanjawan 2026 yang bertemakan ‘Belanjawan MADANI Keempat: Belanjawan Rakyat’ di Dewan Rakyat dengan peruntukan berjumlah RM419.2 bilion.

Ketika membentangkan belanjawan yang pertama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) 2026-2030 itu, Anwar berkata daripada jumlah berkenaan, RM338.2 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus (OE) manakala baki RM81 bilion sebagai perbelanjaan pembangunan (DE).

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan