KUANTAN, 12 Okt (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melancarkan Majlis Rekreasi Pahang (MRP) di Dataran Orang Kaya Haji, Kuala Lipis hari ini.
Baginda menerusi hantaran di Facebook Kesultanan Pahang bertitah MRP itu, bukan sahaja berperanan mempromosi, membangunkan dan memelihara khazanah alam, tetapi ia juga menjadi mata dan telinga pihak berkuasa bagi memastikan ia terpelihara untuk generasi akan datang.
“Saya sentiasa mengikuti perkembangan penggiat aktiviti rekreasi ini yang sangat aktif sejak lebih dari 10 tahun yang lepas. Sudah tiba masanya segala pengetahuan dan pengalaman dikongsikan, di samping menambah baik fasiliti dan produk pelancongan sukan rekreasi di Pahang,” titah baginda.
Menurut hantaran itu, keberangkatan baginda disambut Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Fadzli Mohamad Kamal.
Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah berharap penubuhan MRP dapat memupuk kesedaran anak muda Pahang terhadap kepentingan khazanah alam sekitar.
“Kesedaran yang luas tentang pentingnya khazanah alam sekitar ini, kerana ia akan menjadi satu legasi ataupun satu tugasan amanah kita, amanah saya, amanah kerajaan untuk diberikan kepada anak-anak muda khususnya anak saya nanti,” titah baginda.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial