KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) -- Proton Holdings Bhd (Proton) menerusi anak syarikat milik penuhnya Proton International Corporation Sdn Bhd (PICSB) menyasarkan untuk mengeksport sebanyak 6,000 unit kenderaan pada tahun ini.
Proton dalam satu kenyataan di sini berkata, syarikat menyasarkan untuk menggandakan angka tersebut pada tahun depan dengan melebihi 10 kali ganda jumlah berkenaan menjelang 2030.
Pada masa ini, katanya, syarikat mengeksport ke 19 negara termasuk Brunei, Fiji, Papua New Guinea, Trinidad & Tobago, Singapura, Bermuda, Bangladesh, Nepal, Pakistan, Mauritius, Sri Lanka, Mesir, Iraq, Ghana, Angola, Kenya, Afrika Selatan, Mozambique dan Zimbabwe.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PICSB Edmund Lim Meng Thong berkata, pihaknya menetapkan sasaran yang tinggi untuk beberapa tahun akan datang selain giat mengambil lebih ramai tenaga kerja untuk pasukan jualan dan pemasaran serantaunya.
"Kami juga teruja dengan kemajuan yang dicapai di Automotive High Tech Valley (AHTV) yang akan meningkatkan keupayaan pengeluaran kami untuk memenuhi permintaan antarabangsa yang semakin meningkat,” katanya.
Dengan jualan eksport dikenali sebagai faktor utama pertumbuhan jualan masa hadapan, PICSB dipertanggungjawabkan untuk meluaskan jejak global Proton dengan sasaran untuk berkembang ke negara-negara Selatan Global di samping terus menyelia serta membangunkan usaha jualan serta pemasaran di pasaran luar negara sedia ada.
Setelah memulakan eksport ke Bangladesh pada 1986, hanya setahun selepas kereta pertama dihasilkan, Proton dengan pantas meluaskan jejak global.
Menjelang 1992, Proton menjadi francais kereta baharu paling pesat berkembang di United Kingdom dengan jualan tahunan mencapai 15,000 unit.
Menjelang awal 2000-an, model-model Proton berada di 64 buah negara di seluruh dunia.
Dalam pada itu, Proton berkata, pihaknya secara strategik mengalihkan tumpuan kepada pasaran serantau dengan pertumbuhan tinggi seperti ASEAN, China, India, Timur Tengah dan Afrika Utara.
"Pada 2025, Proton kekal komited untuk meluaskan kehadiran globalnya dengan memperkenalkan model dan teknologi baharu ke pasaran antarabangsa.
"Setakat tahun ini, Proton mengeksport 20,169 unit kenderaan ke 19 negara sejak 2020, menjadikannya pengeksport kenderaan terkemuka dari Malaysia,” katanya.
Proton turut mengumumkan iaitu Proton e.MAS 7 mendapat sambutan hangat, melonjak ke tempat ketiga dalam jualan eksport tahun ini.
"Sejak aktiviti eksport bermula ke Nepal dan Trinidad & Tobago, sebanyak 233 unit model berkenaan sudah dihantar.
"Pada Disember 2024, model ini mengekalkan jualan kukuh dengan 916 unit terjual pada Mei untuk pasaran domestik dan antarabangsa sekali gus menjadikan jumlah jualan tahun sehingga kini sebanyak 3,632 unit,” kata Proton.
Tiga model Proton yang paling tinggi unit eksport sejak 2020 iaitu Proton Saga dengan 10,998 unit, Proton X50 dengan 3,986 unit dan Proton X70 dengan 3,316 unit.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial