WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Mesyuarat Khas Thailand-Kemboja Bermula Di Putrajaya Di Tengah Ketegangan Sempadan

28/07/2025 05:55 PM

PUTRAJAYA, 28 Julai (Bernama) -- Mesyuarat khas antara Thailand dan Kemboja bermula pada Isnin di Putrajaya dengan matlamat mencapai gencatan senjata serta menghentikan permusuhan di kawasan sempadan yang dipertikaikan.

Mesyuarat itu diusahakan oleh Malaysia menerusi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi ASEAN, dalam usaha meredakan ketegangan yang semakin memuncak dan memulihkan kestabilan di kawasan sempadan yang terjejas akibat konflik.

Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai tiba di Seri Perdana pada 2.51 petang, diikuti Perdana Menteri Kemboja Hun Manet tidak lama kemudian.

Ketibaan kedua-dua pemimpin disambut oleh Anwar.

Turut hadir pada sesi mesyuarat itu ialah Duta Amerika Syarikat ke Malaysia, Edgard Kagan  yang mewakili AS sebagai  penganjur bersama dan Duta China ke Malaysia Ouyang Yujing mewakili China sebagai pemerhati.

Pada Jumaat lalu, Anwar menghubungi Phumtham dan Manet secara berasingan, menggesa agar kedua-dua pemimpin segera melaksanakan gencatan senjata dan kembali ke meja rundingan bagi menyelesaikan pertikaian.

Anwar sebelum ini menegaskan bahawa Malaysia sedia membantu dan memudah cara proses ini selaras dengan semangat perpaduan ASEAN dan tanggungjawab bersama.

Kedua-dua negara jiran itu mempunyai sejarah panjang pertikaian diplomatik di sepanjang 817 kilometer sempadan bersama yang belum dimuktamadkan.

Ketegangan antara Thailand dan Kemboja meningkat sejak 28 Mei lalu susulan insiden pertempuran tentera kedua-dua negara berhampiran kawasan sempadan yang dipertikaikan di Preah Vihear, yang mengorbankan seorang anggota tentera Kemboja.

Pertikaian sempadan terus memuncak pada Khamis (24 Julai), dengan pertempuran bersenjata tercetus di sepanjang sempadan utara Kemboja.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan