KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) menerima penerimaan yang sah untuk semua baki saham biasa dalam FGV Holdings Bhd dan memperoleh saham tawaran mencapai 91.73 peratus daripada jumlah saham terbitan FGV setakat 5 petang.
Menurut FGV dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Felda memegang lebih 90 peratus daripada sahamnya dan tidak berhasrat untuk mengekalkan status penyenaraian FGV di Pasaran Utama Bursa Securities.
Katanya tawaran ini masih dibuka untuk penerimaan sehingga 5 petang pada 15 Ogos 2025 dan Felda menggalakkan semua pemegang saham yang belum menerima tawaran untuk berbuat demikian sebelum tempoh tamat.
“Bursa Securities akan menggantung dagangan saham FGV serta-merta selepas tamat tempoh lima hari pasaran dari tarikh tutup akhir mengikut subperenggan 16.02(3) Keperluan Penyenaraian,” katanya.
Pada 2020, Felda mencetuskan tawaran pengambilalihan selepas meningkatkan pegangan dalam FGV daripada 33.66 peratus dengan membeli saham daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dan Urusharta Jamaah pada nilai RM658 juta.
FGV yang mula disenaraikan pada 2012 pada harga RM4.55 sesaham berjaya meraih RM10.5 bilion dalam satu daripada tawaran awam permulaan (IPO) terbesar di Malaysia. Bagaimanapun, sejak itu, harga sahamnya merosot dengan ketara.
Menurut Felda, pengambilalihan saham FGV ini bukan sahaja membuka jalan ke arah pemerkasaan Kumpulan Felda yang lebih mampan dan berfokus, malah selari dengan aspirasi Felda dalam menjayakan Pelan Strategik dan Hala Tuju Kumpulan Felda 2025-2030.
“Usaha ini diyakini akan meningkatkan daya saing dan menjamin pulangan jangka panjang kepada warga peneroka dan semua pemegang taruh,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial