SUKAN > BERITA

Piala FA: UMD United Anggap Jumpa JDT- Satu Penghormatan

29/07/2025 09:21 PM

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) --Pengendali Universiti Malaya Damansara United (UMD United), Ridzuan Abu Shah menyifatkan undian menentang gergasi bola sepak tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada pusingan 16 terbaik Piala FA sebagai satu penghormatan besar buat pasukannya.

Menurut Ridzuan, aksi berprestij menentang juara bertahan itu bakal menjadi medan terbaik untuk anak buahnya – khususnya pemain baharu – menimba pengalaman beraksi bersama barisan pemain berkelas tinggi, sekali gus menjadi bekalan berharga menjelang saingan Liga A1 Semi-Pro.

“Istilah takut tidak pernah wujud dalam kamus pasukan ini. Apa yang kami miliki, itulah yang kami bawa ke padang.

“Sebagai jurulatih, saya percaya pengalaman bertemu pasukan seperti JDT akan mematangkan pemain-pemain ini, sekali gus meningkatkan keyakinan mereka dalam perlawanan akan datang,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran jersi dan pengenalan pemain UMD United di sini hari ini.

Dalam undian yang berlangsung semalam, JDT diundi bertemu UMD United manakala naib juara Piala FA musim lalu, Selangor FC bakal membuat perhitungan dengan Malaysian University FT (MUFT).

Mengulas persiapan pasukan, Ridzuan berkata seramai 28 pemain termasuk tiga pemain import telah didaftarkan untuk menghadapi kempen Liga A1 Semi-Pro musim ini.

Beliau turut meletakkan sasaran untuk menempatkan pasukan dalam kelompok empat terbaik pada penampilan sulung mereka dalam saingan liga tersebut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan