Oleh Christine Lim
KUALA LUMPUR, 27 Julai (Bernama) -- Chitose Group yang mengendalikan kemudahan pengeluaran mikroalga terbesar di dunia menggunakan fotobioreaktor jenis panel rata di Kuching, Sarawak menyasarkan untuk membangunkan 10 juta hektar ladang penanaman mikroalga berskala besar di Malaysia, Indonesia, India, Timur Tengah dan kawasan berpotensi lain menjelang 2050 meliputi saiz pasaran US$4.2 trilion (US$1=RM4.22).
Pegawai Eksekutif Chitose Bio Evolution Pte Ltd (syarikat induk Chitose Group) Ryosuke Koike berkata Chitose Group dengan operasinya di Jepun, Singapura, Brunei, Thailand dan Vietnam merancang untuk menghasilkan pelbagai jenis produk untuk kegunaan komersial seperti bahan kimia, kosmetik, bahan api, suapan dan makanan menggunakan biojisim mikroalga.
“Biojisim mikroalga akan diproses dan dijual melalui rantaian bekalan dengan kerjasama rakan kongsi menerusi inisiatif Matsuri untuk membina industri berasaskan alga baharu bagi menggantikan industri berasaskan petroleum,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Inisiatif kerjasama yang diketuai oleh Kumpulan Chitose bernama Matsuri, terdiri daripada lebih seratus rakan kongsi merangkumi syarikat global serta universiti, awam dan institusi penyelidikan.
"Setiap kemudahan pengeluaran mikroalga di pelbagai lokasi di dunia akan meneruskan model perniagaan dibiayai sendiri di mana setiap tapak akan mengumpul dana menerusi aliran tunainya sendiri," katanya.
Chitose Group turut berhasrat untuk menjadi pengurus aset dan menguruskan keseluruhan rantaian bekalan daripada hanya menjadi pemilik aset.
Kumpulan itu bekerjasama dengan dua organisasi penyelidikan Jepun iaitu Institut Teknologi Mikroalga, Jepun (IMAT) dan Pertubuhan Pembangunan Teknologi dan Tenaga Baharu (NEDO) serta Pusat Biodiversiti Sarawak untuk kemudahan pengeluaran mikroalga seluas lima hektar di Sarawak yang ditubuhkan pada 2023.
Menjelang 2030, pengeluaran mikroalga akan diperluaskan dan produk baharu akan dibangunkan dan dipasarkan daripada biojisim mikroalga dihasilkan di kemudahan pengeluaran mikroalga di Kuching, berdasarkan pembiayaan penyelidikan berjumlah US$400 juta yang diberikan oleh kerajaan Jepun.
Beliau berkata Malaysia adalah lokasi ideal untuk perniagaan fotosintesis Chitose Group kerana sinaran solar yang banyak dan iklim khatulistiwa.
Dengan membangunkan mikroalga, beliau berkata kumpulan itu menyumbang ke arah penyahkarbonan, agenda global untuk tidak bergantung kepada sumber fosil dan mengurangkan pelepasan karbon.
Ia mampu memberi kesan positif (mengurangkan pelepasan karbon) kerana mikroalga boleh menyerap karbon dioksida dan boleh digunakan untuk membangunkan bahan api, plastik, gentian, cat, makanan dan pelbagai perkara lain dalam kehidupan seharian.
Mengulas mengenai perubahan landskap dalam peraturan perdagangan antarabangsa, beliau berkata: "Kami menyasarkan untuk membina masyarakat...manusia boleh berkembang maju untuk seribu tahun akan datang. Berdasarkan kepada jangka panjang rancangan kami, Chitose Group tidak terjejas oleh sebarang perubahan dasar walaupun di negara-negara maju. Kami kekal komited untuk mencipta masa depan yang mampan."
Antara perniagaan bioekonomi diterajui oleh Chitose Group di Malaysia ialah pertanian mampan dan inisiatif kitaran sumber, syarikat itu bekerjasama dengan lebih 20 petani tempatan di Cameron Highlands dan menggunakan kaedah penanaman tanah yang mampan yang berakar umbi dalam tradisi Jepun dan pengetahuan saintifik.
“Buah-buahan dan sayur-sayuran Chitose dijual di lebih 70 cawangan dan dihidangkan disediakan di 100 restoran dan kedai roti di seluruh Malaysia, Singapura dan Thailand.”
“Kami sedang mengembangkan bahagian pasaran kami untuk mencapai sebanyak 250 kedai runcit dan 300 restoran di seluruh rantau ini dalam tempoh tiga tahun,” kata Koike.
Chitose Group juga sedang mencari peluang untuk bekerjasama dengan penanam tempatan di Cameron Highlands dan rakan kongsi yang boleh mengagihkan hasil pertanian mampannya di Kuala Lumpur dan bandar-bandar lain di Malaysia.
Ia sedang berusaha untuk mengembangkan bioekonomi di Malaysia dengan memanfaatkan mikroalga dan memajukan amalan pertanian kitaran.
Chitose Group kini mengadakan pameran "Algal oleh Matsuri" pembuatan/penghasilan kitaran berasaskan alga di Japan Pavilion of Expo 2025 Osaka Kansai.
Pameran berkenaan menampilkan pelbagai rangkaian produk harian diperbuat daripada alga termasuk pakaian, kosmetik, makanan, cat, resin PET (polimer termoplastik) serta bahan api penerbangan dan marin.
Resin PET atau polimer termoplastik, kebiasaannya digunakan untuk menghasilkan bahan pembungkusan seperti botol, bekas, dan filem.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial