NEW DELHI, 27 Julai (Bernama) -- Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nurul Izzah Anwar pada Ahad merakamkan penghormatan kepada kebangkitan pelajar di Bangladesh pada 2024, yang disifatkannya sebagai perjuangan demi kedaulatan dan maruah negara.
Bangladesh kini mengadakan beberapa acara bagi memperingati ulang tahun pertama kejatuhan pemerintahan hampir 16 tahun oleh Sheikh Hasina yang dikenali sebagai Revolusi Julai.
Nurul Izzah berkata peristiwa yang berlaku tahun lepas bukan sekadar satu protes, sebaliknya menjadi sebuah laluan kelahiran semula semangat kebangsaan rakyat Bangladesh.
“Akhirnya, mana-mana rejim, walau sekuat mana pun, tidak akan mampu bertahan menentang kehendak rakyat yang telah sedar,” katanya.
Hasina meletak jawatan dan melarikan diri ke India pada 5 Ogos tahun lepas setelah gelombang protes besar-besaran tercetus di seluruh Bangladesh.
Nurul Izzah berkata Revolusi Julai mengingatkan dunia bahawa “kestabilan tanpa keadilan adalah rapuh.”
Dalam ucapannya, beliau turut menyentuh genosid yang dilakukan Israel di Gaza, serta pelbagai isu lain termasuk reformasi demokrasi dan politik, pengalaman peribadinya dalam perjuangan, aktivisme belia dan pemerkasaan ekonomi.
“Serangan genosid di Gaza yang didalangi oleh kuasa hegemoni dan sekutunya mengingatkan kita tentang keperluan untuk memperkukuh solidariti,” kata beliau.
Nurul Izzah berucap di samping tokoh antarabangsa dan penceramah tempatan di Persidangan Antarabangsa Pertama mengenai Revolusi Julai yang dianjurkan oleh badan pemikir Research and Integrated Thought (RIT) yang berpangkalan di Dhaka dan Jabatan Sains Politik Universiti Dhaka.
Yasin Aktay, anggota kanan Parti Keadilan dan Pembangunan (AK Party) Turkiye, menyifatkan Revolusi Julai sebagai kebangkitan menentang autoritarianisme tempatan dan sekutu asingnya.
Penasihat sementara bagi perumahan dan kerja raya kerajaan interim Bangladesh, Adilur Rahman Khan, pula berkata rejim Hasina yang digulingkan telah menyalahgunakan jentera kerajaan sebagai senjata parti Awami League, sehingga menyebabkan kehilangan dan pembunuhan pengkritik menjadi perkara biasa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial