WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Malaysia Langkah Kiri Di Hari Pertama Terjun Kejohanan Akuatik Dunia 2025

26/07/2025 07:10 PM

SINGAPURA, 26 Julai (Bernama) -- Skuad terjun negara memulakan kempen Kejohanan Akuatik Dunia 2025 dengan langkah kiri apabila gagal menjelmakan keputusan memberangsangkan pada hari pertama saingan yang berlangsung di Pusat Akuatik OCBC, di sini hari ini.

Dalam acara campuran 3 meter dan 10 meter berpasukan, kuartet negara yang dibarisi Datuk Pandelela Rinong, Lee Yiat Qing, Enrique Maccartney Harold dan Elvis Priestly Clement hanya mampu menamatkan saingan di kedudukan ke-16 daripada 21 pasukan dengan kutipan 322.55 mata.

Dominasi acara tersebut nyata milik China apabila gandingan Chen Yuxi, Cao Yuan, Cheng Zilong dan Chen Yiwen menghadiahkan pingat emas kepada negara mereka selepas mencatat 466.25 mata.

Pingat perak diraih pasukan Mexico yang diwakili Randal Willars Valdez, Alejandra Estudillo Torres, Zyanya Yunuen Parra Martin dan Osmar Olvera Ibarra dengan 426.30 mata, manakala Jepun melengkapkan podium menerusi gandingan Sayaka Mikami, Sho Sakai, Reo Nishida dan Rin Kaneto yang mengumpul 409.65 mata.

Kejohanan Akuatik Dunia 2025 yang berlangsung dari 11 Julai hingga 3 Ogos ini menghimpunkan penyertaan dalam pelbagai disiplin termasuk polo air, terjun, terjun tinggi, renang, renang artistik serta renang perairan terbuka.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan