WILAYAH - SELATAN > BERITA

MPBKKJG 2025: Pengunjung Cilik, Remaja Cungkil Bakat Penyiaran Di Reruai Bernama

26/07/2025 06:33 PM

MUAR, 26 Julai (Bernama) -- Pengunjung Karnival Kita MADANI di Dataran Tanjung Emas, di sini tidak melepaskan peluang mencuba pengalaman sebagai "pembaca berita", menerusi aktiviti interaktif yang dikendalikan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Pengunjung yang berminat berpeluang mencuba membaca berita bertemakan kemerdekaan di hadapan kamera dengan menggunakan teleprompter sebenar yang dikendalikan Bernama di reruai Kementerian Komunikasi, yang terletak berhampiran khemah utama.

Bagi Hana Fadiya Husni, 23, pelajar tahun akhir Ijazah Perhubungan Awam, Universiti Teknologi MARA (UiTM), cubaan itu ialah kali pertama dia membaca berita secara terbuka di khalayak ramai dan mengakui pengalaman itu tidak semudah yang disangka.

“Kita tengok di televisyen nampak mudah, tetapi sebenarnya agak mencabar dan mendebarkan. Saya tersasul beberapa kali semasa membaca teks kerana rasa gementar, namun sangat seronok. Kalau diberi peluang, saya nak cuba lagi, mungkin dalam segmen sukan,” katanya ketika ditemui Bernama di lokasi program hari ini.

Sementara itu, Alyssa Ooi Geok Seng, 11, yang meminati bidang penyiaran sejak kecil berkata dia tidak mahu melepaskan peluang untuk mencuba sendiri pengalaman membaca berita di hadapan kamera seperti seorang penyampai profesional.

“Ini kali pertama saya baca berita guna prompter … agak gugup, tetapi saya gembira sebab dapat cuba sebut intonasi dan gaya seperti pembaca berita sebenar. Kalau ada peluang lagi, saya nak cuba baiki gaya pembacaan,” katanya yang bercita-cita menjadi wartawan.

Karnival Kita MADANI adalah sebahagian daripada program sisipan bersempena dengan Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang (MPBKKJG) 2025 yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim esok. 

Antara pengisian lain ialah program Bakti Komuniti MADANI di Taman Tun Sulaiman Ninam Shah hari ini manakala acara Merdeka 6.8KM Fun Run & Walk serta Pelepasan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2025 akan berlangsung esok di lokasi sama.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan