WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Fahmi Seru Rakyat Sokong Kempen 1 Rumah 1 Jalur Gemilang

27/07/2025 11:07 AM

MUAR, 27 Julai (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menyeru seluruh rakyat Malaysia menyokong Kempen 1 Rumah 1 Jalur Gemilang sebagai simbol cinta akan negara dan lambang perpaduan menjelang sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025.

Fahmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 berkata rakyat digalakkan mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman, kenderaan, pejabat, sekolah dan premis masing-masing dengan penuh rasa bangga, sebagai tanda sokongan kepada kempen berkenaan.

“Saya menyeru kepada semua, marilah sama-sama kita kibarkan Jalur Gemilang di kediaman, kenderaan, pejabat, sekolah dan premis masing-masing. Jom, kita sokong Kempen 1 Rumah 1 Jalur Gemilang sebagai tanda cinta akan negara. 

“Kibarkanlah bendera yang cukup sifatnya di mana-mana sahaja, dengan penuh rasa bangga,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 (MPBKKJG 2025) di Dataran Tanjung Emas, di sini hari ini yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Turut hadir, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Julina Johan.

Fahmi berkata sambutan Bulan Kebangsaan bukan sekadar acara simbolik, sebaliknya merupakan manifestasi tanggungjawab besar seluruh rakyat dalam menyemarakkan semangat patriotisme dan memperteguh kecintaan terhadap negara.

“Ia membawa tanggungjawab besar dalam menyemarakkan Bulan Kebangsaan, satu bulan yang menuntut kita semua mengimbau sejarah, menghargai pengorbanan dan memperbaharu iltizam terhadap tanah air tercinta ini,” katanya.

Penghayatan terhadap nilai kemerdekaan, katanya amat penting supaya rakyat memahami erti sebenar kebebasan dan kehidupan sebagai sebuah masyarakat merdeka.

“Hal ini kita lakukan untuk memaknai sebuah kehidupan dan kepentingan menjadi masyarakat yang merdeka. Sebelum Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, kehidupan rakyat dibina berlandaskan keunikan kaum yang pelbagai di negara kita,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa semangat kebersamaan yang terbentuk sejak 68 tahun yang lepas melalui kerangka Perlembagaan Persekutuan telah menjadi teras kepada keamanan dan kestabilan negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan