IPOH, 23 Julai (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya merampas sisa elektronik (e-sisa) bernilai RM31,337,000 dalam serbuan ke atas sebuah kilang haram yang beroperasi di kawasan ladang kelapa sawit di Parit, semalam.
Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta SAC Shahrum Hashim berkata antara barangan dirampas termasuk 81 bongkah e-sisa seberat 105,300 kilogram (kg), 5,000kg arang batu, dua kenderaan pacuan empat roda, sebuah lori treler dan sebuah bangunan pemprosesan berkeluasan 8,400 kaki persegi.
“Hasil siasatan mendapati kilang haram yang terletak kira-kira lima kilometer dari jalan utama itu disyaki menjalankan aktiviti pemprosesan e-sisa secara haram menggunakan peralatan khas dan tanpa sebarang kelulusan pihak berkuasa.
“Operasi dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak, Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT) dan Pejabat Daerah dan Tanah Perak Tengah itu, turut menahan tiga lelaki tempatan berusia antara 36 hingga 70 tahun bagi membantu siasatan,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Shahrum berkata kes disiasat mengikut Seksyen 18, 19, 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, Seksyen 6 Akta Peniaga Sekendhend 1946 serta Seksyen 127 Kanun Tanah Negara.
Selain itu, beliau berkata pihaknya akan mempergiat usaha penguatkuasaan dan tidak akan sesekali berkompromi dengan mana-mana pihak yang menjalankan kegiatan berkenaan secara haram khususnya di Perak.
“Masyarakat atau pengguna diseru supaya menjadi mata dan telinga bagi menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa berhubung aktiviti yang menyalahi undang-undang,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial