WILAYAH - SARAWAK > BERITA

IHH Perkukuhkan Kehadiran Di India Melalui Kerjasama Fortis-Gleneagles

23/07/2025 08:03 PM

KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- IHH Healthcare Bhd (IHH) telah mengumumkan kerjasama strategik antara dua anak syarikatnya di India iaitu Fortis Healthcare Ltd dan Gleneagles Healthcare India Pvt Ltd, yang bertujuan mengukuhkan sinergi operasi serta kewangan di negara tersebut.

Kumpulan itu melalui satu makluman dengan Bursa Malaysia hari ini berkata langkah itu melibatkan perjanjian operasi dan penyelenggaraan, yang mana Fortis akan menguruskan lima daripada enam hospital yang kini dikendalikan oleh Gleneagles India.

"Ini adalah langkah penting dalam mengukuhkan platform penjagaan kesihatan pan-India IHH dengan skala operasi yang dipertingkatkan, kecemerlangan klinikal serta jangkauan geografi, sambil mengekalkan aliran bakat dan autonomi kewangan masing-masing.

"Ia menyatukan keupayaan tambahan di bawah komitmen bersama bagi menyampaikan penjagaan pesakit yang berkualiti tinggi selain membuka sinergi operasi dan kewangan di kedua-dua rangkaian," katanya.

Perjanjian itu kekal bersyarat atas penerimaan dan pengakuan pihak-pihak yang berkaitan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Dr Prem Kumar Nair berkata kerjasama itu mencerminkan komitmen pertumbuhan jangka panjang kumpulan di salah satu pasaran utamanya.

"Dengan komitmen yang dikongsi bersama dan kekuatan yang saling melengkapi, kami sedang mewujudkan rangkaian hospital pan-India yang komprehensif untuk memenuhi keperluan penjagaan kesihatan yang berkembang bagi keperluan berjuta-juta orang di seluruh negara," katanya. 

 Beribu pejabat di Kuala Lumpur, IHH mengendalikan rangkaian hospital serta perkhidmatan penjagaan kesihatan di beberapa negara seperti Malaysia, Singapura, Türkiye, India dan Greater China.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan