KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- ASEAN dan rakan dialognya menegaskan bahawa mengadakan pilihan raya di Myanmar bukan keutamaan ketika ini, sebaliknya penekanan perlu diberikan kepada keperluan mendesak untuk mencapai gencatan senjata kekal dan dialog inklusif bagi meredakan krisis yang sedang berlaku.
Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Mohamad Hasan berkata tumpuan kekal kepada pelaksanaan sepenuhnya Konsensus Lima Perkara (5PC) ASEAN, yang menyeru penamatan segera keganasan, penyampaian bantuan kemanusiaan dan dialog politik inklusif melibatkan semua pihak berkepentingan di Myanmar.
“Kebimbangan kita adalah pilihan raya bukan keutamaan pada masa ini. Keutamaan kita ialah untuk mencapai gencatan senjata, meredakan ketegangan dan mengadakan dialog dengan semua pihak dan pemegang taruh,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Sidang Kemuncak Asia Timur ke-15 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Jumaat.
Beliau berkata 5PC yang diterima pakai ASEAN pada 2021 tidak menetapkan pilihan raya sebagai syarat, walaupun Myanmar baru-baru ini mencadangkan untuk mengadakan pilihan raya.
Mohamad menambah bahawa mengadakan pilihan raya tanpa penyertaan semua pihak hanya akan memburukkan lagi keadaan dan memanjangkan ketidakstabilan di rantau itu.
“Tiada gunanya mengadakan pilihan raya secara separa. Ia tidak akan menyelesaikan masalah - malah hanya akan memburukkan lagi keadaan,” katanya.
Beliau berkata ASEAN, melalui setiap pengerusinya, telah melantik utusan khas untuk berinteraksi dengan semua pihak berkepentingan di Myanmar serta menggesa komitmen gencatan senjata yang lebih meluas dan berterusan.
“Ia mesti diperluaskan ke seluruh Myanmar supaya rakyatnya dapat kembali menjalani kehidupan normal,” katanya.
Pada 25 Mei, Mohamad berkata ASEAN telah menggesa Myanmar mematuhi sepenuhnya 5PC sebagai prasyarat untuk mengadakan sebarang pilihan raya di negara itu.
Beliau berkata ASEAN telah menyampaikan mesej yang jelas, tegas dan konsisten kepada Myanmar bahawa sebarang perbincangan mengenai pilihan raya hanya boleh diadakan selepas pelaksanaan sepenuhnya 5PC.
Sementara itu, Mohamad berkata Mesyuarat Menteri-Menteri Luar EAS pada Jumaat sebulat suara bersetuju untuk mengadakan beberapa deklarasi baharu untuk diluluskan Oktober nanti.
“Seperti kata Perdana Menteri semasa perasmian (Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan) tempoh hari, kita tidak mahu kenyataan sahaja tapi tidak ada yang konkrit kita lakukan.
“Kita nak lakukan agar EAS ataupun gabungan negara-negara Asia Timur ini dapat diperkasakan dan diterjemahkan sebagai platform yang lebih meluas, platform yang lebih baik,” katanya.
Sejak penubuhannya pada 2005, Mohamad berkata EAS berperanan sebagai platform penting untuk mempererat kerjasama serantau khususnya selepas krisis kewangan Asia dan penularan penyakit seperti selesema burung.
“Penubuhan EAS bersama ASEAN merupakan satu usaha dan idea untuk kita dapat menjalankan kerjasama yang lebih akrab di antara negara-negara serta bagaimana cara kita untuk mengadakan kesepakatan, terutamanya apabila berhadapan dengan bencana dan masalah seperti krisis kewangan Asia dulu,” katanya.
EAS merupakan platform serantau yang memudahkan dialog dan kerjasama dalam kalangan negara anggotanya mengenai isu strategik, politik dan ekonomi yang luas serta menjadi kepentingan dan kebimbangan bersama bagi keamanan, kestabilan, dan kemakmuran ekonomi di Asia Timur.
Ia terdiri daripada 18 negara peserta, termasuk 10 negara anggota ASEAN, Australia, China, India, Jepun, New Zealand, Korea Selatan, Rusia dan Amerika Syarikat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial