KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (SMCCI) menandatangani memorandum persefahaman (MOU) dengan Maybank Singapore Ltd bagi memperkukuh inisiatif berfokus halal serta menyokong pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di kedua-dua negara.
Dalam satu kenyataan hari ini, SMCCI dan Maybank Singapura memaklumkan bahawa kerjasama itu akan menumpukan kepada Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan akan diperluas ke seluruh rantau ASEAN.
“SMCCI akan memberikan bimbingan kepada ahlinya berkaitan penubuhan perniagaan, kemasukan pasaran, penyelesaian ruang kerja, perkembangan dasar serta risikan pasaran.
“Maybank pula akan melengkapi usaha SMCCI melalui penyediaan rangkaian lengkap penyelesaian perbankan, selain meneruskan kolaborasi sedia ada menerusi ‘myimpact Microbusiness Programme’, yang memperkasa usahawan kurang mendapat perkhidmatan melalui latihan perniagaan, bimbingan dan dana permulaan,” katanya.
Kira-kira 300 ahli SMCCI bakal mendapat manfaat daripada sokongan yang dipertingkat ini serta peluang yang diperluaskan di peringkat serantau.
Presiden SMCCI Dr Abdul Malik Hassan berkata pihak dewan melihat permintaan yang semakin meningkat daripada ahlinya untuk meneroka peluang di JS-SEZ dan rantau ini, khususnya dalam sektor halal.
“Dengan bekerjasama bersama Maybank, kami memperkukuh ekosistem sokongan kepada para usahawan yang bersedia untuk berkembang. Bersama-sama, kami berhasrat memudahkan pertumbuhan rentas sempadan dan membantu perusahaan milik Melayu/Muslim di Singapura meneroka landskap serantau,” katanya.
Ketua Perbankan Islam Maybank Singapura Sazzali Sabandi berkata ekonomi halal merupakan sektor yang berkembang pesat dengan potensi besar di seluruh ASEAN.
Beliau berkata minat yang semakin meningkat dari Thailand, Vietnam dan Kemboja juga membolehkan negara-negara tersebut merebut sebahagian daripada pasaran halal global, yang dianggarkan mencecah US$5 trilion (US$1 = RM4.24) menjelang 2030.
“Dengan kehadiran Maybank di kesemua 10 negara ASEAN, kami berupaya menyokong PKS dengan penyelesaian kewangan dan alat yang tepat untuk merebut peluang rentas sempadan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial