DUNIA > BERITA

ASEAN Perlu Lipatgandakan Usaha Untuk Integrasi - Balakrishnan

11/07/2025 10:50 PM

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 11 Julai (Bernama) -- ASEAN perlu melipatgandakan usaha ke arah integrasi susulan ketidaktentuan geopolitik dan tarif Amerika Syarikat (AS), kata Menteri Luar Singapura Dr Vivian Balakrishnan.

Beliau berkata ASEAN perlu memastikan ia benar-benar menghapuskan semua halangan tarif dan bukan tarif, selain mengoptimumkan kedudukan daya saingnya.

“Kerana itu berada dalam kawalan kita. Ini adalah langkah yang tidak merugikan, dan saya ingin tegaskan bahawa keperluan mendesak untuk melaksanakannya sekarang adalah sangat jelas,” katanya kepada media di sela-sela Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM) dan mesyuarat berkaitan di Kuala Lumpur.

Transkrip temu bual itu dikongsi oleh Kementerian Luar (MFA) Singapura.

Balakrishnan berkata tumpuan mesyuarat di Kuala Lumpur adalah untuk meningkatkan daya tahan dalam ASEAN di tengah-tengah ketidaktentuan, turun naik dan cabaran ekonomi dengan memperdalam integrasi ASEAN dan mengukuhkan hubungan luar dengan rakan kongsinya.

"Dalam satu cara, anda boleh menganggap ini sebagai percubaan untuk meningkatkan daya tahan dengan meningkatkan kestabilan hubungan ekonomi ASEAN di seluruh dunia," katanya.

Menteri itu turut memaklumkan beliau teruja dengan kehadiran positif di peringkat tertinggi daripada rakan-rakan luar, yang mencerminkan keupayaan ASEAN untuk menghimpunkan semua pihak.

Sementara itu, Balakrishnan berkata Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura boleh menjadi model positif bagi integrasi dua hala atau pelbagai hala dalam ASEAN pada masa depan.

“Dari perspektif ASEAN, JS-SEZ juga mungkin memberi pengajaran berguna bagaimana untuk melaksanakan kerjasama rentas sempadan yang dapat memberikan kelebihan daya saing dengan menggabungkan kekuatan yang saling melengkapi,” katanya.

Mengenai isu sempadan Thailand-Kemboja, Balakrishnan berkata kedua-dua pihak memerlukan masa dan saluran komunikasi yang selamat dan tenang untuk memberi ruang kepada diplomasi dalam menyelesaikan isu berkenaan.

Beliau menambah bahawa berdasarkan pengalamannya, penyelesaian isu sensitif dan sukar tidak akan berkesan jika dilakukan secara terbuka melalui liputan media atau media sosial.

“Saya tidak berada dalam kedudukan untuk mendedahkan perbincangan yang bersifat sensitif di sini, tetapi saya ingin tekankan bahawa ia memerlukan diplomasi yang tenang, berhemah, konstruktif dan berkesan.

“Berdasarkan interaksi saya dengan semua pihak dan rakan sejawat dalam ASEAN, semua orang mengharapkan penyelesaian secara baik,” katanya, sambil menambah bahawa adalah sangat malang apabila pertikaian itu telah mengakibatkan kehilangan nyawa.

Hubungan diplomatik Thailand-Kemboja menjadi tegang susulan insiden berbalas tembakan singkat pada 28 Mei antara anggota tentera kedua-dua negara berhampiran wilayah Preah Vihear di utara Kemboja, yang mengorbankan seorang anggota tentera.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan