KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) terus mempergiat usaha memperkasakan pendidikan tinggi dan bakat bumiputera menerusi tiga kerjasama strategik baharu dengan pemain industri serta institusi profesional.
Kerjasama strategik itu meliputi pemeteraian dua memorandum persefahaman (MoU) dengan Pusat Perakaunan Profesional Malaysia (MyPAC) serta Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (YP) dan surat niat (LoI) dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).
Majlis pertukaran dokumen itu berlangsung pada Simposium Pemikiran Tun Abdullah Ahmad Badawi yang dirasmikan dan disaksikan oleh Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Hajah Rubiah Wang hari ini.
Turut hadir Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Ketua Pengarah MARA Datuk Zulfikri Osman dan anak Tun Abdullah, Tan Sri Kamaluddin Abdullah.
Simbolik pertukaran dokumen itu dilakukan oleh Naib Canselor Universiti Poly‑Tech Malaysia (UPTM) Prof Madya Dr Sharifah Syahirah Sy Shiekh dengan Ketua Pegawai Eksekutif MyPAC Datuk Zaiton Mohd Hassan, Naib Presiden Eksekutif (Strategi) YP Zatur-Rawihah Omar dan Pengerusi MATRADE Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Menurut kenyataan UPTM, kerjasama dengan MyPAC bertujuan meningkatkan bilangan akauntan profesional bumiputera menerusi bantuan kewangan dan sokongan perkhidmatan kepada pelajar, memperkukuh kebolehpasaran graduan, mengeratkan hubungan akademik dan industri, serta menyokong pembangunan bakat yang mampan melalui Pembangunan Profesional Berterusan (CPD) dan perkongsian kepakaran.
Sementara itu, kerjasama dengan YP bertujuan memperkukuh pembangunan pelajar dalam bidang perakaunan profesional bagi menyokong komitmen UPTM mengekalkan status Platinum ACCA Approved Learning Partner iaitu pengiktirafan tertinggi dalam penyampaian program Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA).
"Antara fokus adalah penyediaan laluan akademik dan profesional bagi pelajar ACCA, sokongan kewangan seperti tajaan, biasiswa dan subsidi kepada pelajar layak, pembangunan pelajar melalui program bimbingan, kepimpinan dan kemahiran insaniah serta peluang pendedahan industri dan penempatan kerja hasil jaringan bersama pihak industri," menurut UPTM.
UPTM memaklumkan kerjasama itu dijangka memberi manfaat besar kepada pelajar dan menyumbang kepada usaha negara dalam melahirkan lebih ramai profesional bumiputera dalam bidang kewangan dan perakaunan.
Mengenai pertukaran LoI dengan MATRADE, UPTM memaklumkan ia bertujuan melaksanakan penyelidikan terhadap pembangunan pengeksport bumiputera yang meliputi tiga fokus iaitu merancang dan melaksanakan projek penyelidikan yang menyokong pembangunan eksport bumiputera.
"Fokus lain adalah menjalin kerjasama dalam pembuatan dasar dan program pembangunan kapasiti berkaitan perdagangan yang lebih inklusif selain berkongsi pengetahuan dan kepakaran bagi mencapai hasil yang mampan dan memberi impak tinggi kepada ekonomi negara," menurut kenyataan itu.
Dalam majlis sama, UPTM turut menyampaikan simbolik penghargaan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) atas pelaksanaan 100 peratus bilik darjah pintar (smart classroom) di kampus universiti tersebut.
Simposium yang dihadiri lebih 500 peserta itu menampilkan tiga forum utama yang membincangkan aspek kepimpinan, dasar, gaya pentadbiran serta imej Malaysia sepanjang tempoh pentadbiran Abdullah sebagai Perdana Menteri Malaysia Kelima.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial