WILAYAH - SARAWAK > BERITA

ASEAN Harus Tuntut Akses Pasaran Setara dari EU, China Dalam Persekitaran Tekanan Tarif - Penganalisis

11/07/2025 11:18 AM

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- ASEAN harus menuntut akses pasaran timbal balik daripada rakan dagangan utama seperti Kesatuan Eropah (EU) dan China terutamanya dalam sektor seperti minyak sawit, produk halal dan mineral bateri kenderaan elektrik (EV) untuk menjaga kestabilan perdagangan serantaunya dalam persekitaran peningkatan dasar perlindungan global, kata seorang penganalisis.

Negara anggota Asia Tenggara terutamanya pengeksport minyak sawit tertakluk kepada halangan bukan perdagangan seperti piawaian alam sekitar atau mengalami defisit perdagangan yang besar seperti yang berlaku di China, kata Penganalisis Keselamatan dan Politik Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dr Noor Nirwandy Mat Noordin.

Beliau berkata pusingan terbaharu tarif Amerika Syarikat (AS) dengan Malaysia dikenakan duti 25 peratus ke atas eksport terpilih mulai 1 Ogos, seharusnya menyedarkan ASEAN untuk bertindak lebih tegas sebagai blok untuk memperoleh peningkatan akses kepada pasaran yang menguntungkan.

Walaupun ASEAN sering diiktiraf sebagai rakan strategik terutamanya oleh EU, beliau berkata rantau itu terus menghadapi langkah-langkah akses pasaran yang terhad.

Beliau memetik Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan EU (EUDR) dan piawaian kemampanan yang tidak diiktiraf seperti Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO) dan Minyak Sawit Lestari Indonesia (ISPO) sebagai batu penghalang bagi pengeksport minyak sawit Malaysia dan lain-lain.

"Ini adalah piawaian dwistandard jelas. Walaupun EU mengiktiraf ASEAN sebagai rakan kongsi strategik, ia menguatkuasakan dasar sekatan terhadap minyak sawit atas alasan alam sekitar.

"Jika ASEAN mahu layanan adil, ia mesti bergerak sebagai satu blok dan menegaskan piawaiannya sendiri," katanya kepada Bernama.

Noor Nirwandy berkata ASEAN harus mempertimbangkan untuk membawa perkara itu ke forum antarabangsa seperti Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan bertegas untuk bersama-sama mengiktiraf rangka kerja kemampanan serantau untuk memastikan pengeluar minyak sawit tidak dihukum (dikenakan tindakan) secara tidak adil.

"MSPO Malaysia dan ISPO Indonesia sudah pun menjadi piawaian kukuh. Sehubungan itu adalah tidak konsisten bagi EU untuk mengabaikannya, pada masa sama menuntut libat urus lebih mendalam dengan ASEAN," tambahnya.

Mengenai perdagangan dengan China, Noor Nirwandy berkata ASEAN terus mengalami defisit perdagangan ketara dan menyeru negara anggota untuk menuntut akses lebih adil kepada pasaran domestik China yang luas terutamanya untuk eksport bernilai tinggi seperti barangan diperakui halal dan mineral bateri EV.

"China mendapat manfaat besar daripada perdagangan ASEAN. Sudah tiba masanya negara ASEAN, terutamanya middle powers (negara-negara berkecuali) seperti Malaysia menggunakan eksport strategik sebagai kelebihan untuk merundingkan syarat lebih baik," katanya.

Beliau menekankan kepentingan ASEAN mengekalkan postur neutral sambil meluaskan diplomasi perdagangannya dengan semua kuasa besar termasuk AS.

“ASEAN tidak boleh cenderung ke satu arah sahaja. Keberkecualian adalah kekuatan kita tetapi berkecuali tidak bermakna tidak bertindak.

"Kami memerlukan diplomasi ekonomi tegas mencerminkan kepentingan ASEAN dalam rantaian bekalan global," katanya.

Beliau juga berkata pusingan baharu tarif AS boleh memangkin ASEAN untuk mempercepatkan pelaksanaan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan meluaskan penyertaan dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

“Rangka kerja perdagangan ini boleh membantu menyerapkan impak terhadap kejutan tarif dan membuka lebih banyak pasaran pelbagai.

“ASEAN mesti terus maju dengan integrasi lebih besar dan institusi lebih kukuh di bawah Pelan Tindakan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC),” tambahnya.

Menyeru mekanisme rundingan peringkat blok yang lebih kukuh, Noor Nirwandy berkata ASEAN mesti membina institusi ekonomi lebih kukuh dan bergerak melangkaui kenyataan bersama dan retorik untuk menyampaikan hasil perdagangan konkrit.

"Kami memerlukan diplomasi diterajui ASEAN yang berkuasa bukan hanya kerjasama simbolik. Sama ada mengenai peraturan EU, akses pasaran China atau halangan perdagangan AS, ASEAN harus bertindak bersama," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan