JOHOR BAHRU, 11 Julai -- Lapan buah kedai termasuk sebuah bengkel motosikal dan tiga kereta musnah dalam kebakaran di Jalan Waja 5, Taman Pandan di sini hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor berkata 31 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau, Johor Jaya, Kempas dan Larkin bergegas ke lokasi selepas pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada 5.10 petang.
Beliau berkata operasi pemadaman turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela Mount Austin dan Ulu Tiram dengan kebakaran kedai melibatkan kemusnahan antara 50 hingga 90 peratus.
“Turut musnah sebuah Proton Wira dan dua Proton Saga manakala tiada mangsa dilaporkan cedera dalam insiden berkenaan.
“Kebakaran melibatkan struktur separuh kekal berkeluasan 100 x 50 kaki persegi dan kita berdepan kesukaran berikutan tekanan air rendah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, pemilik bengkel yang hanya mahu dikenali sebagai Wong, 60, tergamam melihat premis yang diusahakannya sejak 25 tahun lepas musnah sekelip mata.
“Saya keluar kira-kira 3.30 petang, tak lama selepas itu, ada orang telefon beritahu bengkel terbakar. Bila sampai, api sudah marak.
“Saya tak sempat selamatkan apa-apa, saya betul-betul sedih,” katanya ketika ditemui Bernama di lokasi kejadian.
Wong berkata tiga buah motosikal milik pelanggan yang sedang dibaiki turut musnah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial