Oleh Anas Abu Hassan
KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Ekspo 2025 Osaka berperanan sebagai landasan bagi kerjasama lebih kukuh dalam sektor ekonomi utama, menjadi platform sesuai untuk meningkatkan hubungan ekonomi antara Jepun dan Malaysia, kata Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (Jetro).
Pengarah Urusan Jetro Kuala Lumpur Koichi Takano berkata ekspo itu menyediakan peluang baik bagi meningkatkan kerjasama antara Jepun dan Malaysia ke tahap baharu sambil membuka ruang pelaburan jangka panjang yang akan terus memberikan manfaat.
“Menuju ke hadapan, Jetro menjangkakan pertumbuhan pesat dalam pelaburan merentas penyahkarbonan, tenaga boleh ubah, teknologi digital, sektor halal dan perkhidmatan bernilai tinggi.
“Peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025 dijangka meningkatkan lagi kerjasama, terutamanya menerusi penglibatannya dalam Komuniti Pelepasan Sifar Asia (AZEC), inisiatif yang diterajui oleh Jepun,” katanya kepada Bernama.
Sidang Kemuncak AZEC yang dijadualkan berlangsung di Malaysia tahun ini, menandakan pencapaian penting dalam kerjasama tenaga antara kedua-dua negara.
Menurut Takano, rundingan berterusan Mekanisme Pengkreditan Bersama dijangka membuka lebih banyak peluang bagi teknologi alam sekitar Jepun untuk dilaksanakan di Malaysia.
“Jetro telah menyusun katalog syarikat Jepun yang menyumbang kepada penyahkarbonan dan sedang aktif menyokong pengembangan mereka dalam pasaran Malaysia.
“Semua usaha ini disokong oleh minat pelaburan yang semakin meningkat dalam sektor berkaitan pengguna seperti produk makanan, penjagaan kesihatan, pendidikan dan perkhidmatan gaya hidup Jepun,” katanya.
Bagi membuka sepenuhnya potensi hubungan perdagangan Jepun-Malaysia pada dekad akan datang, Takano menegaskan bahawa usaha mengukuhkan hubungan sedia ada yang berdasarkan kepercayaan merupakan langkah yang sangat kritikal.
Beliau berkata, Jepun yang pernah menjadi pelabur terbesar Malaysia, mengekalkan hubungan kukuh dengan negara ini, dan Jetro kekal komited untuk berkhidmat sebagai jambatan bagi hubungan pada masa depan.
“Keselamatan ekonomi, peralihan tenaga dan rantaian bekalan yang berdaya tahan ialah keutamaan yang dikongsi bersama. Berdasarkan kepercayaan yang telah lama terjalin, kami boleh mewujudkan perkongsian berkekalan yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara.
“Jetro akan terus menerajui usaha dalam pemadanan perniagaan, sokongan kemasukan pasaran dan penglibatan strategik, memastikan syarikat Jepun kekal aktif dan melabur dalam masa depan Malaysia,” katanya.
Firma Jepun melihat Malaysia sebagai hab
Selain itu, Takano berkata syarikat Jepun turut mengambil peluang insentif cukai yang strategik dan sedang mempertimbangkan untuk menjadikan Malaysia sebagai ibu pejabat serantau mereka.
Beliau percaya daya tarikan Malaysia telah diperkukuhkan lagi oleh asas kos yang kompetitif dan peningkatan peranannya dalam rantaian nilai serantau.
“Jetro memainkan peranan penting dalam menyokong perkembangan ini dengan menyediakan maklumat terkini mengenai dasar, insentif pelaburan dan peluang dalam sektor yang strategik.
“Dengan pertumbuhan ekonomi semasa Malaysia pada 5.1 peratus berbanding 3.6 peratus pada tahun sebelumnya, firma Jepun telah menunjukkan peningkatan keyakinan mereka dalam pasaran tempatan,” katanya.
Tinjauan Keadaan Perniagaan 2024 pertubuhan itu mendedahkan bahawa keuntungan dalam kalangan syarikat Jepun di Malaysia terus melebihi purata ASEAN, disebabkan oleh prestasi kukuh dalam pembuatan, terutamanya dalam sektor seperti elektrik dan elektronik, pemprosesan makanan, peralatan pengangkutan dan jentera am.
Takano menjelaskan bahawa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Jepun telah lama menyumbang kepada sektor pembuatan Malaysia dan terus berkembang dengan perubahan landskap ekonomi.
Beliau menyatakan keyakinan bahawa skim sokongan PKS tempatan yang diperluaskan kepada PKS Jepun dapat mengukuhkan lagi daya tahan dan integrasi mereka.
Perubahan TVET satu cabaran bersama
Dalam menangani pembangunan tenaga kerja, Jetro mengiktiraf usaha kerajaan Malaysia menerusi perubahan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kerana Jepun turut berdepan cabaran buruh yang sama dan bertindak balas dengan mempromosikan robotik, kecerdasan buatan dan integrasi tenaga kerja asing yang strategik.
Katanya, cabaran bersama itu memerlukan komitmen jangka panjang, dialog berterusan dan penyelarasan dasar.
“Dasar Pandang Ke Timur Malaysia telah memainkan peranan penting dalam memupuk persefahaman dua hala, dengan lebih daripada 28,000 rakyat Malaysia belajar di Jepun setakat ini.
“Kerjasama dalam pendidikan juga diteruskan melalui institusi seperti Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun dan University Tsukuba Malaysia,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial