WILAYAH - SARAWAK > BERITA

TudungPeople Serlah Simbol Kemegahan Budaya Di Ekspo 2025 Osaka

11/07/2025 11:44 AM

KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Jenama fesyen Malaysia, TudungPeople yang mewakili negara di Ekspo 2025 Osaka dengan penampilan sederhana, namun cukup mempesona melalui hijab yang digayakan oleh delegasi negara di Pavilion Malaysia.

Bukan sekadar mengambil bahagian melalui gerai jualan atau pameran fizikal, jenama tempatan itu tampil secara visual melalui koleksi tudungnya yang ikonik sejajar dengan tema Pavilion “Weaving a Future in Harmony” (Mencorak Masa Depan yang Harmoni).

Ketua Pegawai Operasi TudungPeople Dr Fazly Azry berkata kehadiran jenama itu diterjemahkan melalui tudung yang digayakan oleh delegasi negara sekali gus melambangkan keanggunan, identiti budaya dan rekaan yang sungguh bermakna.

“Kami sentiasa yakin bahawa untuk muncul hebat tidak semestinya perlu berlebihan. Tudung yang digayakan di Pavilion itu membawa impak yang cukup besar dan bermakna … ,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama.

Beliau berkata koleksi tudung tanpa corak yang menjadi identiti jenama itu direka mengutamakan keselesaan dan boleh digayakan dengan pelbagai cara yang menyerlahkan lagi keanggunan. 

“Langkah kecil dalam diplomasi fesyen ini membolehkan gaya berhijab menjadi penghubung budaya, memperkenalkan identiti Malaysia sambil mendorong interaksi, mencetuskan rasa ingin tahu dan membuka ruang perbualan,” katanya.

Diasaskan pada 2011, TudungPeople terus berkembang daripada jenama tempatan yang biasa kepada antara nama paling dikenali dalam fesyen Muslimah di Malaysia, terkenal dengan pendekatan inklusif dan koleksi hijab tanpa corak yang menekankan keselesaan dan keanggunan.

Selama bertahun-tahun, jenama ini terus maju dan mengorak langkah bukan sahaja dari segi estetik tetapi juga nilai sosial dan budaya.

Dr Fazly berkata bagi TudungPeople, keharmonian bukan sekadar ungkapan, malah  satu falsafah kehidupan yang menyaksikan jenama ini meraikan perpaduan dalam kepelbagaian melalui keunikan hasil rekaannya sekali gus menambah keanggunan kepada si pemakai sambil mewakili landskap budaya Malaysia yang kaya.

“Hijab kami direka untuk dipakai oleh sesiapa sahaja yang mahukan keselesaan sambil mengekalkan kesopanan dan keanggunan. Kami mahu orang ramai melihat bahawa fesyen menutup aurat bukanlah satu halangan sebaliknya menambahkan lagi keyakinan,” katanya. 

Rekaan jenama ini sering menggabungkan warisan Malaysia, yang diinspirasikan daripada seni dan kraf tradisional, makanan tempatan seperti kuih-muih, flora dan fauna, serta nostalgia zaman kanak-kanak. 

“Kami melihat warisan bukan hanya satu trend, tetapi sebagai kisah yang sentiasa mekar di jiwa. Kami ingin mentafsirkan semula tradisi dengan pendekatan berbeza supaya lebih mudah untuk Muslimah moden mengayakan identiti itu dengan bangga,” katanya.

TudungPeople mengimbangi khazanah budaya dengan daya tarikan moden dan setiap rekaan dihasilkan penuh ketelitian, makna serta keindahan di samping memperkenalkan pembaharuan dan menghormati serta memartabatkan nilai warisan.

Dengan peningkatan minat dalam pasaran antarabangsa, TudungPeople pada tahun ini bekerjasama rapat dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) di bawah program pengembangan global yang menumpukan kepada membina infrastruktur untuk pertumbuhan eksport mampan.

Daripada memperhalusi kesesuaian produk dengan pasaran sehingga mengenal pasti potensi kerjasama, kolaborasi ini membantu meletakkan asas untuk kehadiran jenama ini dalam jangka panjang di arena global.

“Menyertai Pavilion Malaysia di Ekspo 2025 Osaka bukan sekadar simbolik, ia satu langkah strategik. Membolehkan kami berhubung dengan pihak berkepentingan antarabangsa sambil berkongsi makna sebenar rekaan Malaysia … ,” kata Dr Fazly.

Walaupun jenama ini tidak mempamerkan koleksi khusus di ekspo berkenaan, penyertaannya disifatkan sebagai satu bentuk kuasa lembut, menggunakan fesyen untuk mempromosikan budaya Malaysia di peringkat global.

“Pada akhirnya, ia bukan soal kemunculan semata-mata. Ia lebih kepada apa yang bakal diingati dan memberikan makna dan jika seseorang melihat tudung kami di Pavilion dan mencetuskan kesan yang mendalam, maka kami telah menjalankan peranan kami,” katanya.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan