WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Pengeboman AS-Israel Ke Atas Iran Satu Langkah Yang Silap - Anwar

07/07/2025 11:43 PM

KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan kebimbangan terhadap pengeboman bersama Amerika Syarikat (AS)-Israel ke atas tapak nuklear utama Iran bulan lepas susulan konflik Gaza, sambil menyifatkannya sebagai satu langkah silap yang mengetepikan diplomasi dan semangat kental rakyat Iran.

Dalam wawancara bersama France 24 yang disiarkan di platform digital rangkaian itu hari ini, Anwar menegaskan penyelesaian isu Gaza memerlukan rundingan pelbagai hala dan adil.

“Saya tidak begitu gembira kerana saya berpendapat jalan ke hadapan hanya melalui rundingan. Mereka (AS) telah cuba memusnahkan Iran berkali-kali dan anda tidak seharusnya memandang rendah semangat kental rakyat,” katanya.

“Tindakan itu gagal mengambil kira ketabahan, keupayaan dan keteguhan rakyat Iran. Apa yang kita alu-alukan tentunya ialah gencatan senjata,” katanya.

Mengulas desakan negara-negara Barat termasuk Perancis supaya Iran menghentikan program nuklearnya, Anwar menekankan desakan itu mesti bersifat adil dan konsisten.

“Jika mereka mahu bukan proliferasi dengan pemahaman bahawa teknologi nuklear tidak harus digunakan untuk persenjataan, itu adil. Namun ia mesti dilaksanakan secara konsisten. Percanggahan dan hipokrasi ini terlalu ketara, dan orang ramai tidak lagi menerimanya,” katanya.

“Ini bukan era imperialis atau kolonial di mana anda boleh menetapkan syarat. Mesti ada keadilan – mengapa kenakan sekatan terhadap Iran tetapi tidak terhadap Israel? Mengapa wujud dwistandard ini?” soal Anwar.

Ditanya mengenai keputusannya menghubungi pemimpin Hamas Ismail Haniyeh selepas 7 Oktober 2023, Anwar berkata tindakan itu adalah untuk menyokong inisiatif gencatan senjata dan bukan keganasan, sambil menegaskan bahawa sesetengah pemimpin Barat terlalu lama menutup mata terhadap kekejaman yang berlaku.

Anwar menjelaskan beliau bertemu pemimpin Hamas untuk memudahkan dialog melalui Qatar, Mesir dan AS, sambil menambah tiada yang salah dalam usaha mencapai perjanjian damai melalui rundingan.

“Saya bukan pergi untuk mencetuskan keganasan, tetapi untuk menyokong dialog. Tetapi saya tidak akan menjadi pak turut yang mengecam Hamas tetapi berdiam diri terhadap tindakan Israel,” katanya.

Mengulas kritikan bahawa beliau lebih lantang mengenai Gaza berbanding perang di Ukraine, Anwar menolak dakwaan dwistandard dengan menjelaskan Malaysia telah menyatakan pendiriannya dengan jelas termasuk berbincang dengan Presiden Rusia Vladimir Putin untuk mengusahakan rundingan.

“Beliau memberitahu saya, beliau bersedia, tetapi jangan mengarah. Saya tidak mewakili sesiapa. Kami datang dari rantau berbeza dan negara kecil, tetapi sebagai seorang sahabat, saya menggesa beliau untuk mencari penyelesaian yang baik dan damai bagi konflik itu,” kata Anwar.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan