WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Anwar Berlepas Pulang Selepas Siri Lawatan Bagi Memperkukuh Hubungan Dan Merancakkan Perdagangan

08/07/2025 01:11 AM

Daripada Arul Rajoo Durar Raj

RIO DE JANEIRO, 7 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim berlepas pulang ke tanah air pada Isnin selepas mengadakan siri lawatan ke tiga negara iaitu Itali, Perancis dan Brazil.

Pesawat sewaan khas Malaysia Airlines yang membawa Perdana Menteri dan delegasi Malaysia berlepas dari Pangkalan Tentera Udara Galeão (BAGL) pada pukul 1 tengah hari waktu tempatan (12 tengah malam Isnin waktu Malaysia).

Siri lawatan ini, yang dimulakan dengan lawatan rasmi tiga hari ke Itali, merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Malaysia untuk memperkukuh hubungan dua hala dan mempromosi kerjasama ekonomi di peringkat global.

Lawatan ke tiga pusat ekonomi utama — Rom, Paris dan Rio de Janeiro bertujuan memperkukuh hubungan diplomatik dan perdagangan Malaysia dengan negara-negara berkenaan.

Ketiga-tiga pasaran ini mencatatkan nilai dagangan dua hala berjumlah RM50.91 bilion (US$11.14 bilion) pada tahun lalu.

Perdana Menteri turut diiringi delegasi perniagaan yang terdiri daripada wakil syarikat korporat utama dan perusahaan inovatif Malaysia termasuk Petronas, Khazanah Nasional Berhad, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Maybank, FGV, YTL Power dan Sunway.

Lawatan rasmi pertama Anwar ke Itali adalah atas jemputan Perdana Menteri Giorgia Meloni.

Lawatan tersebut bertujuan mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara negara dalam pelbagai sektor.

Di Rom, Perdana Menteri diiringi lima menteri Kabinet, iaitu Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Turut serta dalam delegasi ialah Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Di Paris, Perdana Menteri mengadakan pertemuan dengan Presiden Emmanuel Macron dengan perbincangan tertumpu kepada isu perdagangan, teknologi dan pendidikan, selain krisis kemanusiaan di Gaza.

Selain sesi meja bulat bersama gergasi industri Perancis, Perdana Menteri turut bertemu pemimpin komuniti Muslim tempatan, berinteraksi dengan rakyat Malaysia di Perancis serta menyampaikan syarahan awam di Sorbonne University pada 4 Julai.

Selepas singgah di Paris, Anwar meneruskan lawatan ke Rio de Janeiro bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-17 atas jemputan Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva.

Peranan Malaysia sebagai Rakan BRICS dan Pengerusi ASEAN 2025 dimanfaatkan untuk menekankan kepentingan multilateralisme berasaskan undang-undang, tadbir urus kecerdasan buatan, tindakan iklim serta kesihatan global yang mewakili aspirasi lebih 650 juta warga ASEAN.

Anwar menghadiri Sidang Kemuncak BRICS sebagai wakil negara rakan kepada blok yang dianggotai Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan