KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Kerajaan MADANI pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal konsisten dalam usaha memerangi rasuah, termasuk urusan pembelian aset dan sistem pertahanan negara sekarang kini dilaksanakan menerusi perolehan kerajaan kepada kerajaan (G2G) tanpa melibatkan ejen atau komisen.
Perdana Menteri berkata langkah itu sebahagian daripada pendekatan baharu yang diambil kerajaan bagi memastikan ketelusan dan perkara itu turut dibincangkan secara rasmi dengan pihak kerajaan Perancis dan Itali baru-baru ini.
“Perkara ini belum pernah berlaku sebelum ini kerana pembelian senjata lazimnya merupakan antara sektor yang paling terdedah kepada amalan rasuah, tempat di mana wang rakyat sering diseleweng.
“Jadi apa prinsip asas kita? Jalankan urusan secara terus antara kerajaan dan elakkan kaedah lama yang membuka ruang kepada pengambilan komisen atau penyelewengan,” katanya dalam temu bual bersama saluran berita antarabangsa, France 24, yang disiarkan menerusi platform dalam talian hari ini.
Dalam program berjudul Tête-à-tête yang dikendalikan Marc Perelman itu, Anwar turut ditanya mengenai dakwaan kononnya beliau meneruskan perseteruan politik dengan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan keluarganya melalui siasatan yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Mengulas perkara itu, Anwar menegaskan siasatan berkaitan rasuah dijalankan secara telus, membabitkan pelbagai pemimpin termasuk yang berada dalam gabungan kerajaan serta beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah.
“Bukan soal sama ada seseorang itu bekas Menteri Kewangan atau bekas Perdana Menteri. Itu tidak penting. Persoalannya, dari mana datangnya berbilion ringgit ini? Anak-anak mereka sendiri mengisytiharkan di bawah sumpah bahawa mereka memiliki lebih daripada RM1 bilion.
“Saya anggap menjadi tanggungjawab saya untuk memastikan budaya rasuah seperti ini dihentikan. Selain itu, sebarang wang yang dicuri daripada rakyat mesti dikembalikan kerana kita mahu memperbaiki sekolah-sekolah dan membantu golongan miskin,” katanya.
Anwar ketika ini berada di Rio de Janeiro bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS, selepas mengadakan lawatan kerja ke Rom, Itali dan Paris, Perancis bermula 1 Julai lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial