WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Mahkamah Persekutuan Benar Ikat Jamin Dua Tahanan SOSMA

03/07/2025 05:13 PM

PUTRAJAYA, 3 Julai  (Bernama) -- Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan ikat jamin RM50,000 seorang ke atas dua ahli perniagaan yang didakwa menganggotai kumpulan jenayah terancang sementara menunggu keputusan perbicaraan mereka.

Mahkamah turut mengenakan syarat untuk kedua-dua lelaki itu memakai alat pemantauan elektronik dan berada dalam pekarangan rumah masing-masing.

Keputusan dengan majoriti 2-1 itu diputuskan oleh panel tiga hakim diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Nallini Pathmanathan.

Beliau berkata majoriti berpendapat bahawa S. Hemanathan, 31, dan N.Nithiyan, 39, telah meyakinkan mahkamah (untuk membenarkan ikat jamin) terutamanya susulan keadaan kesihatan mereka serta ketidakupayaan sistem penjara untuk menjaga banduan yang memerlukan rawatan perubatan khas.

"Mereka dilarang keluar dari rumah kediaman mereka tanpa kebenaran sewajarnya daripada polis dan mesti melaporkan diri kepada balai polis berhampiran setiap dua minggu sekali. Selain itu, mereka juga boleh pergi ke hospital untuk rawatan keadaan kesihatan mereka dengan kebenaran polis, yang tidak sepatutnya ditahan secara tidak wajar," katanya.

Hakim Datuk Hanipah Farikullah menyokong keputusan majoriti manakala Hakim Abu Bakar Jais tidak bersetuju.

Terdahulu, peguam bela Datuk Rajpal Singh menggesa mahkamah membenarkan ikat jamin atas alasan perubatan.

Beliau berkata Nithiyan menghidap penyakit jantung iskemik, hipertensi dan dislipidemia yang boleh membawa kepada kegagalan kardiovaskular yang mengancam nyawa tanpa rawatan konsisten manakala Hemanathan, yang menggunakan kerusi roda, menghidap diabetes, darah tinggi, dislipidemia dan kolesterol tinggi serta tidak menerima rawatan konsisten di penjara.

Timbalan Pendakwa Raya Ng Siew Wee berhujah bahawa kedua-dua lelaki itu telah menerima rawatan yang diperlukan dan keadaan kesihatan mereka terkawal.

Hemanathan dan Nithiyan didakwa di Mahkamah Sesyen pada Mei tahun lepas kerana menganggotai kumpulan jenayah terancang “Geng TR” di Restoran Makanan Laut Sungai Janggut di Jalan Bagan Sungai Janggut, Jeram, Selangor antara November 2019 dan Mei 2024.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 130V Kanun Keseksaan dibaca bersama Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA).

Kes mereka dipindahkan ke Mahkamah Tinggi pada Ogos tahun lepas dan perbicaraan dijadualkan Oktober tahun depan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan