WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MySalam Perluas Capaian Menerusi Karnival 3K Di Pulau Bum Bum

04/07/2025 12:41 AM

KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) -- Skim perlindungan takaful nasional mySalam yang dikendalikan Great Eastern Takaful Berhad (GETB) melakar sejarahnya tersendiri apabila memperluas perlindungannya secara inklusif ke Pulau Bum Bum, Semporna, Sabah menerusi penganjuran Karnival 3K: Kewangan, Kesihatan, Kebajikan.

GETB dalam kenyataan memaklumkan pulau berkenaan dihuni oleh lebih 3,000 penduduk yang telah sekian lama berdepan cabaran seperti kekurangan infrastruktur, penjagaan kesihatan dan pendidikan kewangan.

Ketua mySalam GETB Syuhaib Ithnin berkata penganjuran Karnival 3K mySalam di Pulau Bum Bum bukan sekadar program capaian biasa, tetapi juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran, memberi akses secara langsung dan berterusan kepada perlindungan, ilmu serta peluang.

"Apa yang kami saksikan di Pulau Bum Bum ialah sebuah komuniti yang bersedia menerima bantuan serta perubahan positif dan kami berbesar hati untuk terus berdiri teguh bersama mereka.

“Kami mahu setiap rakyat Malaysia, tanpa mengira perbezaan demografi dan lokasi tahu bahawa mereka didengari, disokong dan dilindungi," katanya.

Karnival yang berlangsung satu hari itu menyajikan pelbagai aktiviti menarik berteraskan tiga teras utama iaitu kewangan, kesihatan dan kebajikan, dengan komuniti setempat turut berpeluang untuk terlibat dalam sesi pendidikan kewangan yang interaktif termasuk mendapatkan khidmat nasihat di lokasi.

Penduduk juga meraikan pelancaran papan tanda baharu Sekolah Kebangsaan Balimbang di samping menyertai taklimat kesedaran alam sekitar yang membantu mereka memupuk gaya hidup lebih baik dalam kehidupan seharian.

Menurut GETB, aspek kesihatan dan kebajikan turut menjadi fokus utama karnival berkenaan. Para pelajar menerima beg sekolah baharu manakala 700 keluarga dibantu menerusi pemberian Bakul Rezeki yang mengandungi makanan asas selain komuniti berpeluang menjalani saringan kesihatan percuma.

Selain itu, semangat muhibah juga diperkukuh dengan penganjuran acara sukan rakyat, pertandingan reka cipta kitar semula dan program outreach khas menggunakan bot bagi menyalurkan bantuan ke perkampungan atas air berhampiran yang diakhiri dengan acara cabutan rezeki.

Karnival itu dianjurkan dengan kerjasama Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN), Persatuan Takaful Malaysia (MTA) dan Pertubuhan Kebajikan Sedulur.

Sejak dilancarkan, mySalam telah membantu lebih 1.7 juta rakyat Malaysia dengan menyalurkan tuntutan melebihi RM1.2 bilion.

Selain itu, pendekatan jelajah hibrid yang diterajui mySalam telah mencatat lebih 330 sesi fizikal serta 1,865 sesi TikTok Live dengan 7.47 juta tontonan setakat Mei tahun ini sekali gus memperkukuh komitmen dalam memastikan tiada yang terpinggir dari aspek digital dan fizikal.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan