WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Najib Gagal Tunjuk Usaha Wajar Dapat Dokumen Tambahan - Peguam Negara

02/07/2025 08:44 PM

PUTRAJAYA, 2 Julai  (Bernama) -- Mahkamah Persekutuan hari ini dimaklumkan bahawa Datuk Seri Najib Razak gagal menunjukkan usaha wajar bagi mendapatkan dokumen tambahan (adendum) ketika prosiding permohonan kebenaran semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi.

Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dalam hujahnya berkata bekas Perdana Menteri itu mempunyai segala peluang untuk memperoleh dokumen berkenaan ketika permohonan semakan kehakiman difailkan, namun gagal berbuat demikian.

Titah Adendum berkenaan dikatakan telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang membolehkan bekas Ahli Parlimen Pekan itu menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah, bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Beliau berkata anak responden Datuk Mohamad Nizar yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Pahang, boleh sahaja mendapatkan adendum itu dengan usaha wajar yang munasabah memandangkan beliau sering menghadiri mesyuarat dan menghadap Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah.

“Bagaimanapun, dokumen itu hanya diperoleh selepas keputusan Mahkamah Tinggi diumumkan, iaitu yang menolak kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman oleh Najib,” katanya.

“Kegagalan mematuhi syarat ini menjadikan permohonan untuk mengemukakan bukti baharu tidak boleh diterima,” katanya pada prosiding rayuan Peguam Negara terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan rayuan Najib untuk memulakan prosiding semakan kehakiman berhubung Titah Adendum di Mahkamah Tinggi dan mengemukakan bukti baharu.

Mohd Dusuki turut berhujah bahawa keputusan minoriti Mahkamah Rayuan adalah tepat apabila mendapati tiada usaha wajar dilakukan oleh pihak responden.

“Malah, responden juga tidak cuba menghubungi pihak Istana Pahang untuk mengesahkan kesahihan adendum yang didakwa dilampirkan pada perintah utama bertarikh 29 Januari 2024.

“Walaupun berada di Penjara Kajang, responden dibenarkan menggunakan kemudahan yang tersedia untuk berhubung dengan pihak berkuasa. Beliau yang mendakwa kewujudan dokumen tersebut perlu membuktikannya,” katanya.

Beliau juga menyifatkan permohonan semakan kehakiman Najib hanya berasaskan khabar angin kerana bukti yang dikemukakan tidak mencapai tahap kebolehpercayaan minimum untuk diterima sebagai bukti baharu.

Sementara itu, peguam yang mewakili Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, berhujah bahawa Pejabat Peguam Negara sebenarnya sudah mengetahui kewujudan titah adendum itu kerana ia telah dialamatkan kepada bekas Peguam Negara yang kini Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh.

Pendengaran rayuan di hadapan panel tiga Hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim, dan bersidang bersama-sama Datuk Zabariah Mohd Yusof serta Datuk Hanipah Farikullah akan bersambung pada 9 Julai ini.

Najib kini sedang menjalani hukuman penjara enam tahun berkaitan kes SRC International Sdn Bhd selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan dan permohonan semakannya.

Pada Februari tahun lepas, Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman asal 12 tahun penjara dan denda RM210 juta kepada enam tahun penjara dan denda RM50 juta.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan