WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Tiada Rakyat Malaysia Direkrut Dalam Gerakan Militan Berkaitan Warga Bangladesh

29/06/2025 08:02 PM

KUALA BERANG, 29 Jun (Bernama) -- Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan tiada rakyat Malaysia yang direkrut dalam satu rangkaian militan berkaitan warga Bangladesh, seperti yang didedahkan baru-baru ini.

Beliau berkata hasil siasatan Pasukan Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM), kumpulan yang membawa masuk fahaman pelampau berasaskan ideologi Islamic State (IS) ke dalam negara itu melibatkan warga Bangladesh sahaja.

“Hingga sekarang ternyata aktiviti itu hanya terkait dengan keganasan dan ada motif untuk menjatuhkan kerajaan di negara asal mereka (Bangladesh).

“Jadi, adalah penting untuk kita hebahkan kepada rakyat bahawa pasukan keselamatan kita berada pada tahap siap siaga yang tinggi. Kalau aktiviti ini tidak dibendung atau ditangani secara sambil lewa, ia akan memberi kesan besar kepada keselamatan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI Jabatan Sukarelawan Malaysia 2025 di Dewan Besar Majlis Daerah Hulu Terengganu di sini hari ini.

Baru-baru ini, Saifuddin Nasution mendedahkan PDRM menumpaskan satu rangkaian militan warga asing dengan penahanan 36 warga Bangladesh yang disyaki terlibat secara langsung dalam gerakan militan radikal berpaksikan fahaman ekstremis dan ideologi keganasan.

Beliau berkata penahanan itu dilakukan menerusi tiga fasa operasi keselamatan terancang di sekitar Selangor dan Johor bermula 24 April lepas.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin Nasution berkata peranan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) akan diperkukuhkan dalam masa terdekat, yang bakal diterajui oleh PDRM dengan sokongan agensi lain.

“Sebelum ini, ia (NSRC) ada empat agensi yang kawal selia termasuk MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia), Bank Negara dan polis. Bagaimanapun, empat agensi yang kawal selia cara operasinya tidak begitu kemas.

“Jadi, apabila ia diperkukuhkan yang (akan) menerima panggilan (aduan) adalah polis bertugas, butiran diambil dan kita akan maklumkan kepada bank untuk pihak bank ambil langkah pertama dengan bekukan akaun bank mangsa secepat mungkin. Polis akan segera cuba mengembalikan wang mangsa,” katanya.

Beliau berkata langkah pengukuhan tersebut juga akan melibatkan pengoperasian 24 jam talian hotline NSRC 997, yang membolehkan mangsa membuat aduan pada bila-bila masa selain bilangan petugas pusat tersebut akan ditambah.

Saifuddin Nasition berkata cadangan pengukuhan tersebut telah mendapat kelulusan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan