WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kerajaan Perluas Fungsi NSRC, Tubuh Rangkaian Respons 24 Jam Tangani Jenayah Siber - PM

26/06/2025 07:55 PM

KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Kerajaan bersetuju memperluas skop fungsi Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) agar merangkumi semua bentuk jenayah siber, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau juga berkata kerajaan bersetuju menubuhkan rangkaian respons 24 jam yang digerakkan secara menyeluruh oleh pelbagai agensi kerajaan.

“Pengukuhan NSRC juga akan dilaksanakan menerusi gabungan kepakaran tempatan, penyelarasan rentas agensi dan pertambahan sumber manusia,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.

Terdahulu, Perdana Menteri mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara bagi meneliti langkah segera memperkukuh NSRC.

Anwar berkata mesyuarat itu turut dimaklumkan bahawa terdapat hampir 4.7 bilion percubaan penipuan dalam talian direkodkan sejak 2022 dan menyifatkan ia satu angka yang membimbangkan selain menuntut tindakan tegas serta bersepadu dilaksanakan.

Perdana Menteri juga berkata Kementerian Dalam Negeri dan Polis Diraja Malaysia akan menyegerakan pelaksanaan struktur baharu NSRC termasuk memperjelas peranannya agar mudah difahami dan diakses oleh rakyat.

Beliau berkata pendekatan no wrong door turut diguna pakai bagi memudahkan proses aduan dan bantuan.

“Saya menggesa semua agensi untuk bertindak lebih proaktif dan berpandangan jauh dalam memberikan perlindungan menyeluruh kepada rakyat.

“Pada masa sama, kesiapsiagaan benteng siber negara mesti terus dipertingkat baik di peringkat domestik mahupun antarabangsa,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan