DUNIA > BERITA

Penambahbaikan Audit Sektor Awam Antara Tumpuan Mesyuarat WGFA Di Pulau Pinang

26/06/2025 09:03 PM

GEORGE TOWN, 26 Jun (Bernama) -- Penambahbaikan berterusan dalam pengauditan sektor awam merupakan antara inti pati utama yang akan dibincangkan pada mesyuarat Kumpulan Kerja mengenai Susulan Audit (WGFA) yang berlangsung di Pulau Pinang. 

Jabatan Audit Negara dalam kenyataan memaklumkan mesyuarat dua hari bermula hari ini itu dipengerusikan Malaysia dan kumpulan kerja berkenaan ditubuhkan di bawah Organisasi Antarabangsa Institusi Audit Tertinggi (INTOSAI) baru-baru ini.

Menurut jabatan itu, antara yang akan dibincangkan termasuk pemuktamadan Terma Rujukan INTOSAI WGFA yang akan menjadi landasan utama bagi hala tuju dan operasi kumpulan kerja itu, ke arah memperkukuh kebertanggungjawaban serta penambahbaikan berterusan dalam pengauditan sektor awam.

Selain itu, amalan terbaik susulan audit oleh negara ahli juga bakal dibincangkan selain pembentangan dari Malaysia mengenai Papan Pemuka Dalam Talian Ketua Audit Negara.

"Sejak 2024 sehingga kini, sebanyak RM157.73 juta hasil negara telah berjaya dikutip susulan pengauditan yang dijalankan di peringkat Persekutuan dan negeri," menurut kenyataan itu. 

Menurut kenyataan itu, di bawah Rancangan Kerja WGFA 2025–2028, kumpulan kerja berkenaan akan melaksanakan inisiatif jangka panjang untuk membangunkan garis panduan amalan terbaik bagi susulan audit dengan kerjasama ahli INTOSAI. 

Perbincangan juga akan menyentuh keperluan latihan khusus serta pemantapan kapasiti ahli WGFA demi mempertingkatkan kualiti susulan audit di negara masing-masing.

Ketua Audit Negara Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi mempengerusikan mesyuarat berkenaan yang menghimpunkan 71 peserta daripada 43 institusi audit tertinggi dari seluruh dunia. 

Dalam ucapan pembukaannya Wan Suraya yang juga Pengerusi INTOSAI WGFA menekankan bahawa kejayaan penubuhan WGFA di bawah kepengerusian Malaysia menunjukkan komitmen negara-negara INTOSAI ke arah pembentukan rangka kerja kolaboratif global yang lebih dinamik bagi memperkasakan amalan susulan audit secara lebih berstruktur, sistematik dan berimpak tinggi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan