KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Sebuah pusat e-sukan yang dibangunkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dijadual beroperasi tahun depan.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim berkata maklumat lanjut mengenai pengoperasian pusat e-sukan tersebut dijangka diumumkan pada September ini.
“Sekarang masih dalam proses pengeluaran tender dan sebagainya, memang kita jangka penggunaannya 2026.
“Pusat e-sukan ini tidak terhad hanya untuk satu komponen tapi boleh digunakan sebagai dewan serba guna juga. Kita mahu pastikan sumber yang kita ada digunakan secara optimum,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penutup Kejohanan E-Sukan Belia ASEAN (AEYSC) 2025 dekat sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, Ketua Setiausaha KBS Dr K. Nagulendran dan Presiden Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) Muhammad Naim Al Amin Saharudin.
Hannah sebelum ini memaklumkan tiada stadium baharu akan dibina sebaliknya satu daripada kemudahan di KL Sports City, Bukit Jalil akan dijadikan pusat e-sukan.
Sementara itu, Adam Adli berkata kementeriannya berpuas hati dengan penganjuran AEYSC 2025 oleh MESF yang berjaya mengumpul pemain serta pihak berkepentingan dari Asia Tenggara.
Walaupun hanya satu permainan ditawarkan iaitu eFootball Mobile, beliau berharap penganjuran kejohanan tersebut mampu menjadi titik permulaan untuk saingan yang lebih besar serta dianjurkan negara ASEAN lain pada masa depan.
Dalam pada itu, pasukan Indonesia muncul juara keseluruhan kejohanan dengan menyapu bersih kesemua tiga pingat emas ditawarkan iaitu perseorangan lelaki, perseorangan wanita dan beregu campuran.
Malaysia membawa pulang dua perak diikuti Thailand yang merangkul satu perak dan dua gangsa manakala Myanmar meraih satu gangsa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial