PETALING JAYA, 25 Jun (Bernama) -- Rangkaian kedai serbaneka Korea Selatan, emart24 menyasar untuk mengendalikan 115 cawangan di seluruh negara menjelang akhir 2025 dan merancang mengembangkannya ke wilayah selatan khususnya Johor.
Ketua Pegawai Eksekutif emart24 Holdings Sdn Bhd Vuitton Pang berkata Johor adalah tumpuan jangka pendek syarikat itu, didorong oleh permintaan yang semakin meningkat untuk produk makanan dan minuman Korea.
"Johor adalah pasaran yang sangat besar, kami telah menerima banyak komen di platform media sosial emart24 yang meminta kami membukanya di sana. Kami hanya memberi respons terhadap apa yang pelanggan mahu dan kami akan membawa kehadiran lebih kukuh ke negeri itu," katanya selepas melancarkan cawangan ke-100 emart24 di Kota Damansara, dekat sini, hari ini.
Pang berkata emart24 ialah rangkaian kedai sebaneka Korea pertama dan terpantas berkembang di Pantai Timur Semenanjung dan ia memanfaatkan selera yang semakin meningkat untuk perisa Korea yang diperakui halal.
“Sambutan di Terengganu dan Kelantan amat menggalakkan dan kami berterima kasih atas sokongan berterusan,” katanya.
Syarikat itu juga menyasarkan untuk membuka 50 cawangan lagi tahun depan, setiap satu memerlukan anggaran pelaburan melebihi RM300,000 setiap cawangan, sebagai sebahagian daripada rancangannya untuk menawarkan pengalaman makanan jalanan (makanan rakyat marhaen) Korea yang halal pada harga berpatutan kepada pengguna Malaysia.
Untuk mengharungi cabaran pasaran, Pang berkata syarikat itu bekerjasama rapat dengan pembekal tempatan dengan semua produk di kedainya dibuat di Malaysia, satu langkah membantu syarikat kekal berdaya tahan dalam persekitaran peningkatan kos dan ketidaktentuan global.
“Semua gangguan geopolitik semasa tidak banyak memberi kesan kepada emart24 kerana kami banyak bergantung kepada pembekal tempatan.
“Kami hanya menumpukan pada kualiti, memperkenalkan produk dan promosi baharu yang menarik dan memastikan harga kami berpatutan untuk kekal berdaya saing dalam industri ini,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial